KOTA BHARU: Sekali lagi hubungan DAP dan Tun Dr Mahathir Mohamad dipersoalkan oleh Pas.

Bagi Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob, DAP hanya mempergunakan pengaruh pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) khususnya Tun Dr Mahathir Mohamad untuk meraih sokongan rakyat terutama orang Melayu.

Bercakap kepada pemberita di sini semalam, pemimpin Pas itu berkata: “DAP hanya mempergunakan Tun Mahathir dan Bersatu untuk meraih sokongan.”

Beliau mengulas hubungan baik bekas Perdana Menteri dengan DAP kini.

Ahad lalu, Dr Mahathir muncul di persidangan parti berkenaan bersama-sama dengan Lim Kit Siang, musuh yang sering dikritiknya selama 22 tahun beliau menjadi Presiden Umno dan Perdana Menteri.

Mahathir yang kini menjadi Pengerusi Bersatu tidak lagi menyifatkan DAP sebagai parti rasis dan cauvinis.

Ahmad Yakob menasihati Bersatu supaya meninggalkan itu, sebaliknya  menjalinkan kerjasama dengan Pas.

Katanya, kerjasama antara PAS dengan Bersatu adalah lebih baik berbanding jika mereka terus bersama dengan Parti Amanah Negara (PAN) dan DAP. – Sarawakvoice