Nilai normal ringgit sebenar sepatutnya sekitar RM4.05 berbanding AS$1

KUALA LUMPUR: Penyusutan ringgit hanya sementara dan nilai mata wang ringgit sebenar sepatutnya duduk pada nilai sekitar RM4.05 berbanding AS$1.

Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Dr Zakariah Abdul Rashid berkata, ringgit akan kembali pada paras keseimbangan sebaik sahaja faktor sebenar diambil kira.

Beliau juga yakin, apabila faktor kuasa spekulatif yang melemahkan nilai ringgit berkurangan, ringgit akan bergerak normal.

Bercakap pada Persidangan Prospek Ekonomi Kebangsaan pada Selasa, Zakariah berkata, walaupun permintaan dan penawaran ringgit daripada pasaran luar pesisir penting, namun negara boleh bergerak ke hadapan tanpa elemen spekulasi yang tidak memberi gambaran sebenar keadaan ekonomi dalam negeri.

Menurut Zakariah, Bank Negara Malaysia kini mengambil beberapa langkah untuk menstabilkan pergerakan ringgit.

Tambah beliau lagi bahawa kadar pertukaran sebenar akan ditentukan faktor sebenar, antaranya aliran barangan dan perkhidmatan.

Menurut beliau, kelemahan ringgit ketika ini turut dipengaruhi kesan Trumponomics berikutan pemilihan Donald Trump sebagai presiden AS serta prestasi minyak mentah.

Dalam pembentangannya Zakariah berkata MIER mengunjurkan pertumbuhan antara 4.5 hingga 5.5 peratus keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebenar pada 2017. – Sarawakvoice

Sementara, beliau percaya permintaan domestik dijangka berterusan tahun depan

Dengan mengunjurkan pertumbuhan 4.2 peratus KDNK bagi tempoh tahun ini. – Sarawakvoice