Masih hidupkah Bana di Aleppo? Kenapa kicauan Twitternya tiba-tiba mati?

0
1

ALEPPO: Bana Alabed, 7, gadis kecil penghuni timur Aleppo mendapat perhatian di dunia maya.

Hampir setiap hari dia menjadi “wartawan kecil” menghebahkan khabarnya kepada dunia serta memuat naik keadaan rumahnya yang hancur dibom tentera Syria pro-Bashar Assad.

Pada Selasa minggu lepas, Bana memuat naik foto dengan keterangan yang menyebut dia masih hidup selepas menimbulkan tanda tanya lebih 100,000 followersnya apabila dia tiba-tiba berhenti berkicau di Twitter miliknya pada Ahad minggu sebelum ini.

Antara kicauann terakhir Bana berbunyi, “malam ini kami tidak lagi punya rumah. Rumah kami hancur dibom. Banyak orang mati dan aku hampir mati.”

Pada hari yang sama, dia meminta dunia mendoakannya, sementara bom terus berjatuhan.

Bana menulis laporannya dalam bahasa Inggeris dengan bantuan ibunya, memberitahu keluarga mereka terperangkap dalam pengeboman tentera Syria.

Aleppo yang pernah menjadi kota terbesar di Syria musnah dalam peperangan dengan tentera kerajaan di wilayah barat yang dikuasai oleh pasukan kerajaan Bashar.

Pada Isnin minggu lalu, tentera Bashar merebut sebahagian wilayah yang dikuasai pemberontak melalui pengeboman besar-besaran.

Ketika itu Fatemah, ibu Bana sempat mengambil alih Twitter Bana dan mengucapkan selamat tinggal kepada para pengikut Twitter-nya setelah khuatir hidup mereka berakhir tidak lama lagi.

“Kami yakin tentera menangkap kami sekarang.

“Sampai jumpa di lain hari, dunia. Okey,” bunyi kicauan di akaun @AlabedBana sebagaimana dikutip CNN.

Selama ini, akaun ini aktif menggambarkan suasana peperangan di Aleppo dari perspektif keluarga yang terperangkap di dalamnya.

Namun, sehari selepas itu mula muncul khabar di Twitter pihak lain yang mengesahkan keluarga tersebut masih hidup walaupun rumah mereka hancur.

Fatemah dan keluarganya masih selamat dalam pengeboman besar-besaran itu. “Kami berjuang untuk hidup kami. Kami masih bersama anda,” tulis Fatemah.

Fatemah, yang pernah mempelajari ilmu kewartawanan dan politik itu, aktif memuat naik cerita tentang kehidupan sehari-harian bersama anak perempuannya dari kota yang terkepung sejak September lalu.

Fatemah memberitahu BBC, dia mengajar Bana bahasa Inggeris, membolehkan Bana menulis di Twitter.

“Bana mahu dunia mendengar suara kami,” kata Fatemah.

Penduduk Aleppo berhadapan dengan masalah kekurangan bekalan makanan, rawatan perubatan dan pengeboman berterusan tentera Bashar dengan sokongan Rusia.

Menurut PBB, sejak tentera Bashar menguasai Aleppo pada hujung minggu lepas, sekitar 16,000 warga awam menjadi pelarian.

Setakat ini, tiada yang tahu alasan sebenar akaun Twitter Bana terhapus! – Sarawakvoice