Saturday, May 21, 2022

Lelaki maut dirempuh dan diseret 18 meter di Taman Hui Sing, selepas kejar-mengejar 20 minit

Secara Rawak

KUCHING: Seorang lelaki maut setelah dirempuh dan diseret dengan kereta oleh seorang remaja yang mengesyakinya mencuri barangan milik rakannya.

Lelaki berusia 22 tahun itu maut serta-merta tengah malam tadi setelah terseret kira-kira 18 meter, akibat rempuhan tersebut, yang menyebabkan tempurung kepalanya pecah.

Menurut Pemangku Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Asisten Superintendan Mathew Manggi, kejadian dipercayai berlaku selepas aksi kejar-mengejar di antara mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha dan suspek yang  berusia 17 tahun yang memandu kereta Chevrolet.

“Aksi kejar-mengejar selama 20 minit itu dikatakan bermula dari Jalan Tawi Sli sebelum berakhir dengan kemalangan di Jalan Taman Hui Sing sekitar jam 12.40 tengah hari.

Mangsa kemudian dikenal pasti sebagai Jalias Ramblee, 22 tahun dari Kampung Lintang Baru, Panchor, Serian.

Mathew berkata, polis telah menahan remaja terbabit untuk siasatan lanjut serta mengenal pasti motifnya merempuh mangsa sehingga mengakibatkan kematian.

“Mayat mangsa juga dibawa ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk proses bedah siasat.

“Setakat ini, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, namun siasatan turut melibatkan pelbagai aspek lain,” jelasnya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru