Monday, August 8, 2022

Kejutan guna helikopter ke majlis perkahwinan tidak menjadi, pengantin perempuan maut kemalangan

Secara Rawak

SAO PAULO, Brazil: Hajat sejak kecil seorang wanita untuk menghadiri perkahwinannya menggunakan helikopter bertukar tragedi apabila pesawat yang dinaikinya terhempas sebatu dari lokasi perkahwinannya.

Dalam kejadian tersebut, Rosemere do Nascimento Silva, 32 tahun, bercadang untuk membuat kejutan kepada tunangnya ,Udirley Damasceno dan 300 tetamu di sebuah kawasan pedalaman di luar bandar Sao Paulo.

heli-kahwin-terhempas01

Bagaimanapun nasib tidak menyebelahinya apabila pesawat tersebut terhempas dan membunuh kesemua penumpangnya, termasuk Nascimento, abangnya, juruterbang dan jurufoto yang sedang mengandung enam bulan.

Portal berita Mirror memberitahu, Damasceno menunggu bagai tidak berpenghujung tanpa menyedari apa yang dirancang oleh tunangnya serta tragedi yang menimpa mereka.

heli-kahwin-terhempas03

Pasukan polis dan penyiasat kemalangan udara kini sedang mencari maklumat mengenai punca tragedi tersebut, dan tidak menolak segala kemungkinan termasuk melanggar pokok.

Ini kerana sewaktu kejadian, tahap penglihatan agak rendah berikutan hujan, kabus dan keadaan berawan.

“Semua pengantin mempunyai impian ketika berkahwin. Dan mangsa memasang impian untuk tiba ke majlis perkahwinannya dengan menaiki helikopter tanpa disedari oleh sesiapa,” kata salah seorang penganjur perkahwinan itu, Carlos Eduardo Batista kepada media Brazil, Globo.

heli-kahwin-terhempas00

Kemalangan itu hanya disedari apabila helikopter tersebut tidak mendarat di padang bola sepak berdekatan seperti yang dijadualkan.

Carlos kemudian membuat panggilan dan mendapat pengesahan bahawa helikopter terbabit telah berlepas seperti yang dijadualkan.

Mereka kemudian dimaklumkan tentang sebuah pesawat telah terhempas di kawasan berdekatan namun tidak memikirkan ia ada kaitan dengan rombongan pengantin.

Pengantin lelaki kemudian dimaklumkan tentang berita tersebut dan mengalami kejutan yang amat sangat.

Daripada 300 yang hadir, hanya enam daripadanya yang tahu akan kejutan yang dirancangkan.

heli-kahwin-terhempas02

Agensi Penerbangan Awam Brazil berkata, helikopter tersebut telah diberikan kebenaran untuk terbang sehingga 1 Februari depan dengan jumlah tiga penumpang, tidak termasuk juruterbang.

Helikopter jenis Robinson 44, itu terhempas di kawasan hutan berhampiran jalan utama dan sejurus menerima maklumat, lapan jentera bomba dikejarkan ke lokasi kejadian namun gagal untuk menyelamatkan mangsa.

Juruterbangnya kemudian dikenal pasti sebagai Peterson Pinheiro, manakala abang pengantin perempuan dikenal pasti sebagai, Silvano Nascimento da Silva.

Jurufoto wanita yang mengandung itu pula dikenali sebagai Nayla Cristina Neves.

Perjalanan dari lapangan terbang menuju ke lokasi perkahwinan sepatutnya mengambil masa hanya 15 minit. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru