CAP: Tragedi malang dapat dielak jika semua pihak bertanggungjawab

S.M Mohamad Idris

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa langkah tegas diambil terhadap semua pihak yang terlibat dalam projek pembinaan Eco City kerana mereka sepatutnya  bertanggungjawab  atas apa yang berlaku, meskipun mereka tidak terlibat secara langsung.

Presiden CAP, SM Mohamed Idris berkata, pemaju tidak sepatutnya dipertanggungjawabkan sepenuhnya memandangkan pihak lain akan berasa mereka boleh lepas tangan apabila insiden seumpamanya berlaku dan ini pula sebaliknya akan menyebabkan insiden yang sama terus berulang.

Baru-baru ini jejambat pejalan kaki dalam pembinaan, yang menghubungkan KL Eco City dan Mid Valley Megamall di Bangsar, Kuala Lumpur telah roboh.

Kejadian itu berlaku tidak sampai sebulan selepas sepasang suami isteri maut apabila piling rig menghempap kereta mereka di tapak pembinaan sepanjang Persiaran Astana, Klang, satu lagi tragedi yang membawa kepada kecederaan serius dan maut pula berlaku.

“Jika semua pihak yang terbabit dalam industri pembinaan – antaranya termasuklah majlis perbandaran tempatan, pemaju, kontraktor, arkitek, juruukur bahan, jurutera struktur, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan (DOSH) dan semua pihak lain memainkan peranan masing-masing dengan berkesan, tragedi malang itu mungkin dapat dielak,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, di sebalik gesaan berulang kali kepada pihak kerajaan agar menjalankan siasatan lengkap ke atas operasi DOSH, pihak berkuasa berkenaan nampaknya tidak mampu menangani perkara ini kerana mereka tidak memberi perhatian kepada gesaan yang kami buat.

“Apabila insiden seumpamanya berlaku, jelaslah kepada kita bahawa pihak DOSH dan pemaju tidak memberi keutamaan kepada perkara  yang sepatutnya. Di sebalik berusaha untuk mencegah insiden seumpamanya daripada berulang,  mereka menunggu sehingga ia berlaku dan kemudian bergelut untuk mengambil langkah-langkah bagi memperbetulkan keadaan,” katanya.

“Apabila berlaku kehilangan nyawa, tiada langkah pembetulan yang boleh diambil; ia bukanlah sesuatu yang  dapat dikembalikan,” ujarnya.

“Sungguhpun punca kejadian masih disiasat, logik akal mengatakan ia bukan berpunca daripada kemalangan tetapi lebih kepada kecuaian di pihak yang terbabit dalam projek tersebut,” katanya lagi.

Walau apa pun, katanya,  yang menjadi puncanya, pihak berkuasa terbabit dan orang awam perlu sedar  bahawa sejarah berulang kembali sungguhpun ia tidak sepatutnya  berlaku.

“Jika kejadian buruk itu benar-benar berlaku disebabkan struktur yang rosak, maka ia perlu diperjelaskan bahawa tidak ada sesiapa pun yang boleh mendakwa mereka tidak mengetahuinya. Pegawai-pegawai keselamatan DOSH dan pemeriksa keselamatan di tapak pembinaan sepatutnya tahu mengenai mana-mana struktur yang rosak, jika ada. Ini menimbulkan persoalan sama ada pemeriksaan keselamatan yang teliti telah dijalankan di peringkat-peringkat tertentu oleh pihak berkenaan,” tambahnya. – Sarawakvoice