Thursday, December 8, 2022

Polis Sarawak tidak kompromi anggota terlibat jenayah – Timbalan Pesuruhjaya

Secara Rawak

KUCHING: Polis Sarawak tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawainya yang melanggar disiplin dan terlibat dalam aktiviti jenayah, kata Timbalan Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Abdul Aziz Yusof.img_3811

Menurutnya, mereka akan diambil tindakan seperti juga mana-mana rakyat biasa, jika benar melakukan kesalahan.

“Mereka tidak boleh melakukan sesuatu perbuatan itu sesuka hati mereka. Kalau melakukan kesalahan, mereka akan berhadapan dengan tindakan undang-undang sedia ada.

“Aduan boleh disampaikan kepada saya sendiri, atau hubungi bilik gerakan dan jika ia berkaitan dengan isu yang berat, laporan polis boleh dibuat di mana-mana balai polis. Kita adalah terbuka,” tegasnya ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kebajikan Tabung Amanah Warisan Polis kepada pesara-pesara polis, serta keluarga mereka.

Sebanyak 23 daripada 26 penerima itu adalah waris pesara, yang telah meninggal dunia.

Menurutnya, jumlah masalah disiplin dalam kalangan pegawai dan anggota polis di Sarawak bagaimanapun agak baik dan minimal.

“Semua pegawai dan anggota kita sentiasa dipantau oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard agar mereka mematuhi prosedur operasi standard yang sedia ada.

Pada majlis yang sama, Aziz turut memaklumkan bahawa lebih 2,000 anggotanya telah dikerahkan untuk bersiap sedia khusus bagi menghadapi musim tengkujuh pada tahun ini.

“Kita telah memaklumkan kepada semua Ketua Polis Daerah di daerah yang lazimnya digenangi banjir agar siap siaga menjelang musim banjir ini, yang mula melanda Pantai Timur Semenanjung.

“Kita juga akan mengaturgerakkan 168 aset untuk kegunaan waktu bencana termasuk bot. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru