Insiden tembak: Jambatan P. Pinang dan Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu ditutup esok

GEORGE TOWN: Sebahagian lebuh raya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke Jambatan Pulau Pinang di sini akan ditutup esok, mulai 10.30 pagi hingga 5 petang.
Penutupan jalan melibatkan laluan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala ke Jambatan Pulau Pinang mulai persimpangan Jalan Ahmad Nor ke susur masuk jambatan.

Ketua Polis Daerah Timur Laut  Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid dalam satu kenyataan  menjelaskan, penutupan laluan tersebut bagi membolehkan polis menjalankan kerja-kerja forensik balistik di lokasi kejadian tembakan yang berlaku pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam di Lebuh Raya  Tun Dr Lim Chong Eu Khamis lalu, seorang lelaki yang menghadapi masalah mental melepaskan tembakan rambang sehingga mengorbankan tiga lelaki termasuk majikannya, Datuk Ong Teik Kwang, 32.

Turut maut dua pengguna jalanraya, Senthil Murugiah, 38 dan Choi Hon Ming, 32.

Dalam insiden tersebut, empat lagi mangsa cedera akibat terkena tembakan rambang.

Sebagai alternatif,  katanya, orang ramai boleh menggunakan perkhidmatan feri atau jambatan kedua atau Jalan Sultan Azlan Shah dan lebuh raya Sungai Nibong untuk menghala ke Jambatan Pulau Pinang atau ke Seberang Perai.

Sehubungan itu, orang ramai diminta menggunakan perkhidmatan feri atau jambatan kedua (Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah) atau menggunakan laluan dari arah jalan Sultan Azlan Shah atau Lebuhraya Sungai Nibong menghala ke jambatan pertama Pulau Pinang untuk ke tanah besar.

Kenderaan dari arah pusat bandar ke jambatan akan terus dilencongkan ke Bayan Lepas, Gelugor mulai 2 petang hingga 5 petang. – Sarawakvoice