SARIKEI: Dua penumpang parah selepas sebuah kenderaan Perodua Alza yang dipandu seorang pemaju masyarakat Taska Kemas hilang kawalan lalu merempuh sebuah kenderaan Perodua Axia di selekoh menaik bukit Kilometer Km 432 Jalan Betong-Sarikei-Meradong semalam.

img_3798

Pemangku Timbalan Ketua Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri, Asisten Superintendan Matthew Manggi berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12.40 tengah hari semalam, dengan rempuhan berlaku secara berhadapan, setelah kenderaan Perodua Alza itu memasuki laluan bertentangan, menyebabkan Perodua Axia yang dipandu seorang juruteknik Carigali Petronas Miri tidak sempat mengelak.

“Impak pelanggaran tersebut menyebabkan dua penumpang kenderaan Perodua Axia mengalami luka parah, dan dikejarkan ke Hospital Sarikei oleh pasukan paramedik.

Ketika kejadian kata Mathew, terdapat dua penumpang lain dalam kenderaan tersebut, namun kedua-duanya tidak cedera.

“Malah kedua-dua pemandu, pemandu Perodua Axia yang berusia 42 tahun dan pemandu Perodua Alza yang berusia 27 tahun selamat.

img_3799

“Mangsa yang parah kemudian dikenal pasti sebagai Morris Lan Morttensen, 14 tahun dari Roban dan seorang warga emas, Gala Sambang, 66 tahun dari Saratok.

Ketika kejadian kata Mathew, kenderaan Perodua Axia sedang dalam perjalanan dari Sarikei menuju Roban manakala kenderaan Perodua Alza dari Saratok menuju ke Sarikei.

“Siasatan lanjut sedang dilaksanakan di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa,” katanya. – Sarawakvoice