Saturday, October 23, 2021

Dua kali karam di laut, nelayan sekali selamat tragedi di Batu Mandi, Tanjung Po

Mesti baca

KUCHING: Dua kali karam di lokasi yang sama, seorang nelayan seharusnya menarik nafas lega, kerana sekali lagi selamat daripada menjadi mangsa gelora Laut China Selatan petang tadi.

Sekitar jam 2.30 petang tadi, perahu yang dinaiki Hamdi dan abangnya, Rabuan ketika menangkap ikan tenggelam gara-gara badai yang kuat.

Mangsa yang berasal dari Kampung Muara Tebas kemudian berjaya menghubungi rakan-rakannya, yang kemudian memaklumkan insiden di kawasan Batu Mandi, Tanjung Po tersebut kepada pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Menurut Pengarah Operasi Daerah Maritim Kuching, Shahref Steve Mac Queen Abdullah, sejurus menerima maklumat sekitar jam 3.15 petang, pihaknya mengaturgerakkan pasukan “carilamat” menggunakan dua buah bot.

“Pasukan penyelamat kemudian berjaya menjejaki kedua-dua mangsa sebelum diselamatkan.

“Kedua-duanya kemudian dibawa ke Jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin, yang terletak bersebelahan Kampung Muara Tebas.

Steve berkata, dalam keadaan cuaca yang bergelora ketika ini, para nelayan yang hendak ke laut dinasihatkan lebih berhati-hati dan menggunakan jaket keselamatan serta kemudahan komunikasi kalis air.

Pada 14 Oktober lalu, Hamdi dan rakannya Razali@ Jabang Pet turut berhadapan situasi sama di lokasi berkenaan.

Dalam kejadian awal pagi itu, Hamdi berjaya berenang ke pantai Selabat, manakala rakannya ditemui lemas.

Cuaca terutama angin dan ombak dikatakan menjadi punca tragedi tersebut. – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru