Wednesday, December 7, 2022

Usahawan penuntut IPT dikecuali bayar yuran tahunan perniagaan online

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Kerajaan mengambil pendekatan mengecualikan pelajar instituti pengajian tinggi yang menjalankan perniagaan khususnya secara dalam talian daripada membayar yuran tahunan perniagaan bermula 2017.

najib-karnival-one-ssm-0001

Justeru, usahawan daripada golongan pelajar hanya perlu mendaftar perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sekali dalam tempoh setahun secara dalam talian.

Sebelum ini, usahawan golongan pelajar IPT wajib membayar yuran pendaftaran RM30 setahun bagi perniagaan milikan tunggal (nama sendiri pada kad pengenalan) dan RM60 setahun bagi perniagaan milikan tunggal atau perkongsian yang menggunakan nama syarikat.

Bagi tujuan pengecualian bayaran yuran perniagaan tersebut, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan menyediakan dana khas bernilai RM10 juta untuk tempoh 10 tahun.

Setakat ini, jumlah syarikat perniagaan dalam talian yang berdaftar dengan SSM ialah 42,000 buah.

Bercakap pada sesi bual bicara di Karnival Usahawan Jaringan Dalam Talian (ONE) anjuran SSM, Najib berharap inisiatif  tersebut dapat membantu usahawan muda memulakan perniagaan secara dalam talian demi mendapat akses serta pasaran lebih luas.

Menurut Najib, bagi menguasai perniagaan dalam talian, para usahawan perlu kreatif, selain mampu menyediakan produk berkualiti dan berbeza dengan produk pesaing.

Najib berkata, penggalakkan trend menjalankan perniagaan menggunakan platform digital merupakan antara langkah kerajaan memperkasa perniagaan tempatan, dan ia juga merupakan agenda yang diberi keutamaan.

najib-karnival-one-ssm-0000

Najib mengambil contoh bagaimana bilionaire terkenal, Jack Ma yang juga pemilik syarikat terkenal China, Alibaba kreatif dan bijak menggunakan platform perniagaan secara atas talian.

Jack Ma kini dilantik sebagai penasihat ekonomi digital kerajaan yang membantu Malaysia membangunkan zon e-dagang untuk ekonomi digital pada April 2017.

Jack Ma diharap dapat membantu merevolusikan ekonomi Malaysia dalam usaha menjadikannya sebagai hab e-dagang Asean.

Karnival ONE kali ini merupakan kesinambungan program sulungnya Jun 2015.

Selepas ini Karnival ONE akan menjelajah Kuching, Sarawak dan Kota Kinabalu, Sabah. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru