SERIAN: Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem yakin, beliau akan dikekalkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Serian pada Pilihan Raya Umum yang akan datang.

Berucap di hadapan ratusan penyokongnya di Kampung Pichin semalam, Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) berkata, beliau perlu untuk terus bertanding demi menyumbang kemenangan besar kepada Barisan Nasional (BN).

“Malah saya tidak bersetuju tempat saya digantikan dengan calon lain, kerana ini bermakna Serian akan kehilangan jawatan menteri penuh,” tegasnya.

Riot berkata, kerana pihaknya mengambil tindakan proaktif dengan mempersiap jentera parti lebih awal, terutama memperkemas gerakan di kawasan-kawasan Dun Tebedu, Kedup dan Bukit Semuja.

Berkaitan dengan serangan pihak tertentu yang menuduh beliau jarang berasa di kawasan, Riot menempelak golongan tersebut sebagai terlalu berpolitik.

“Saya sentiasa mengadakan program di kawasan manakala pegawai-pegawai saya sentiasa bersedia untuk berkhidmat sepenuh masa.

“Sebarang masalah dan rujukan, boleh diajukan kepada mereka. Dan selama ini semuanya berjalan lancar,” katanya lagi.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap portfolio Sumber Manusia, Riot perlu menangani sembilan jabatan dan empat agensi kerajaan. – Sarawakvoice