Pensyarah balas dendam kes buli, poskan sampah, seluar dalam wanita kepada pembuli

TOKYO: Awas jika anda pernah membuli rakan semasa di bangku sekolah kerana kebanyakan mangsa rupanya tidak mudah melupakan kisah lama semasa kecil mereka.

Di Tokyo, polis metropolitan menahan Shigeta Miura, 40, disyaki menghantar pelbagai jenis sampah melalui pos kepada bekas rakan sekelas semasa di sekolah rendah dalam aksi plot membalas dendam buli.

NHK melaporkan pada 30 November lepas,  Miura, yang kini pensyarah universiti, menetap di Musashino City pada Ogos lepas didakwa menghantar kotoran, termasuk uncang teh, seluar dalam wanita dan tin kosong sebanyak 70 kali dalam tempoh setahun.

Polis mengesyaki Miura menghantar lebih 500 jenis sampah kepada empat mangsa yang merupakan rakan sesama sekolah rendah yang pernah terlibat dalam perkhemahan kumpulan pengakap sekolah dahulu.

Menurut Jiji Press pada 30 November, Miura dilaporkan membungkus sampah tersebut dalam kotak yang tidak mempunyai setem, memastikan barang tersebut sampai kepada rakan yang pernah membulinya dahulu.

Dengan menerima barang tersebut, rakan yang dianggapnya sebagai pembuli itu turut didenda bagi barangan yang tidak bersetem itu.

Miura yang didakwa atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam, memberitahu polis dia melakukan perbuatan itu sebagai membalas dendam kejadian buli 30 tahun silam. – Sarawakvoice