Najib tempelak Aung San Suu Kyi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri menempelak sikap Aung San Suu Kyi yang tidak mahu ambil peduli penderitaan yang kini ditanggung oleh etnik Rohingya.

Datuk Seri Najib Razak berkata, Malaysia telah meminta Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman untuk bertemu dengan ikon demokrasi dan penerima Hadiah Nobel itu bagi membincangkan isu terbabit.

Namun, kata Najib,  ia mendapat reaksi dingin daripada pemimpin Myanmar itu.

Beberapa hari lalu Najib berkata, Malaysia akan berjumpa dengan Myanmar untuk membincangkan isu terbabit.

“Saya minta Menteri Luar kita ke Myanmar, tetapi Suu Kyi kata kalau nak  jumpa dia hanya bincang isu hubungan dua hala sahaja,” katanya ketika memberi ucapan sempena Himpunan  Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Titiwangsa di sini, semalam.

“Kata Suu Kyi, saya tidak mahu bincang mengenai isu Rohingya…ini mana boleh. Kita mesti bincang segalanya,” katanya.

Di sebalik ancaman dan amaran Myanmar, Najib tetap bertekad untuk bersama-sama 20,000 peserta perhimpunan berkenaan, semalam.

Yang turut berucap di perhimpunan itu ialah presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Katanya, penyertaan Myanmar dalam komuniti Asean tidak membawa sebarang makna kerana mereka telah melanggar satu prinsip dalam Piagam Asean iaitu kemanusiaan.

“Piagam Asean pertahankan hak asasi manusia. Myanmar  pakai satu sahaja. Artikel dalam Asean banyak.

“Dia baca satu sahaja. Kita tidak boleh campur tangan dalam urusan negara lain… dia tidak baca yang lain. Yang lain sebut bahawa hak asasi Asean pertahankan hak asasi manusia. Mereka buat ke?

“Janganlah cakap ikut sesuka hati. Apa dia nak kita buat. Kita masuk Asean sebagai ‘community of nation’.

“Kita satu komuniti bila berlaku kezaliman dan kekejaman orang dan dicabul hak asasi apakah ini bukan penentangan terhadap hak asasi manusia,” katanya.

“Apa yang beliau mahu kita buat. Kita ialah komuniti negara. Adakah anda mahu saya, pemimpin 31 juta rakyat negara ini, hanya menutup mata? Mendiamkan diri? Saya tak akan berdiam diri. Kita mahu menghantar mesej kepada Myanmar,” katanya.

Najib turut menyeru kepada rakan sejawatannya, Presiden Indonesia, Joko Widodo  supaya turut bersama dalam memperjuangkan isu ini.

“Saya nak minta Jokowi adakan himpunan yang sama seperti kita hari ini, Rohingya perlu diperjuangkan. Jangan hanya protes terhadap Ahok. Mereka boleh adakan perhimpunan di Jakarta. Kita mesti tunjukkan kita tak puas hati. Kita perlu bertamadun, melindungi nyawa dan harta benda. Ini tanggungjawab kita,” katanya. – Sarawakvoice