Larian Jambatan Batang Sadong 11 Disember sasar 2,000 penyertaan

KUCHING: Lebih 2,000 peserta dijangka menyertai Larian Jambatan Batang Sadong yang dijadualkan pada 11 Disember ini, kata Ahli Parlimennya, Datuk Seri Nancy Shukri.

Larian yang pertama kali diperkenalkan itu, ketika ini telah menerima penyertaan 1,652 penyertaan yang terbahagi kepada 5km dan 10km untuk lelaki dan perempuan.

“Saya difahamkan telah ada penyertaan di peringkat antarabangsa untuk edisi sulung ini,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching semalam.

Menyifatkannya sebagai acara perpaduan dan akan menjadi acara tahunan, Nancy memberitahu terdapat persembahan kebudayaan pada malam sebelum larian tersebut.

“Ia akan bermula dan berakhir di SK Sungai Bulu,” jelasnya.

Yuran penyertaan adalah sebanyak RM50 untuk setiap individu, namun bagi pengundi di Parlimen Batang Sadong diskaun 50 peratus akan diberikan.

“Acara 10km menawarkan hadiah lumayan untuk para peserta manakala acara 5km lebih kepada larian santai, dengan semua peserta berpeluang memenangi cabutan bertuah,” jelasnya.

Menjelas lanjut mengenai jambatan tersebut yang siap dan mula digunakan pada 16 Oktober lalu, Nancy berkata, ia bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak.

“Projek ini terlalu dekat di hati beliau dan sering meniti di bibirnya,” katanya lagi.

Projek jambatan berharga RM211 juta ini mula dicanangkan kepada umum oleh Najib ketika kempen pilihan raya negeri pada tahun 2011.

Ketika ini, dengan jarak sejauh 1.48km, ia muncul sebagai jambatan rentas sungai terpanjang di Malaysia.

Di sebalik tarikh tutup penyertaan pada hari ini (5 Disember), mereka yang berminat untuk menyertai larian ini boleh mendapatkan borang penyertaan di premis Brooks di Green Heights Mall, Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya, dan Pejabat Daerah Asajaya dan Simunjan. – Sarawakvoice

sadong-run