Aung San Suu Kyi pekak dan tuli terhadap penderitaan Rohingya

KUALA LUMPUR: Hadiah Nobel Keamanan  Aung San Suu Kyi harus ditarik semula, kata wakil Pertubuhan Saidatina Khadijah (Peramah), Dr Rosni Adam pada Himpunan Solidariti Ummah Untuk Rohingya di Stadium Tasik Titiwangsa, di sini semalam.

“Hati wanita mana yang sanggup melihat rakyatnya sendiri ditindas sebegitu sehinggakan PBB mengiktiraf bahawa penindasan di Rohingya adalah yang terburuk dalam dunia hari ini,” ujar beliau.

Beliau juga menyeru seluruh umat Islam di Malaysia agar bermuhasabah daripada kejadian di Myanmar.

Turut berucap pada himpunan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam itu ialah Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak dan Naib Ketua Kesatuan Ulamak Islam Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Banyak pihak membidas pemimpin Myanmar itu kerana mengambil sikap tuli dan pekak terhadap tragedi yang menimpa etnik minoriti Islam Rohingya.

Etnik Rohingya di negara majoriti Buddha itu ditindas, diseksa, dibunuh, dibakar, disembelih,  dirogol dan ditembak, manakala perkampungan dan masjid mereka dibakar.

Sekitar 10,000 orang telah melarikan diri ke sempadan Bangladesh.  

Suu Kyi pada Jumaat menuduh masyarakat antarabangsa cuba mencetuskan permusuhan antara penganut  Buddha dan Islam di Rakhine, yang menyaksikan sekurang-kurang 86 orang telah terbunuh.

Beliau dilaporkan berkata, operasi terhadap etnik Rohingya dilancarkan susulan serangan terhadap tentera kerajaan.

Rohingya bukan merupakan antara 135 etnik yang diiktiraf dari segi-undang-undang di Myanmar, dan majoriti Buddha memanggil mereka “Bengala”  bagi membuktikan mereka etnik pendatang dari Bangladesh.

“Di  Rakhine,  bukan hanya orang Islam yang takut dan risau,” kata Suu Kyi.  “Orang Rakhine juga bimbang. Mereka bimbang jumlah orang Rakhine juga berkurangan, dari segi peratusan,” beliau dipetik berkata. – Sarawakvoice