Banyak kebaikan jalinan hubungan dengan China

0
3

KUALA LUMPUR: China terhutang budi kepada Malaysia ekoran tindakan proaktif dan ke hadapan Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Tun Hussein dalam menjalinkan hubungan  dengan negara komunis itu pada tahun 1974, menjadi punca negara itu menyukai Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, anak Perdana Menteri kedua itu berkata, langkah itu telah membuatkan China terhutang budi.

Bagi pemerhati sejarah dan politik, tindakan Razak itu merupakan titik tolak dalam kepada terjalinnya hubungan mesra dengan China ketika banyak negara lain begitu berhati-hati.

Baru-baru ini, Najib mengunjungi China dan berjaya membawa urus niaga dan pelaburan RM144 bilion.

Namun, pemimpin pembangkang mengkritik tindakan beliau itu dengan menyifatkannya sebagai menjual kedaulatan Malaysia.

“Soal kita buat baik dengan China apa masalahnya? Ia negara  ekonomi besar dan tuan-tuan tahu sebab apa mereka suka Malaysia?,Najib dalam ucapan penggulungan presiden pada Perhimpunan Agung Umno 2016, di  Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Katanya, salah satu falsafah China ialah mengenang orang yang berbuat baik dengan mereka.

“Falsafahnya seperti ini: Kalau kita minum dari telaga jangan lupa jasa penggali telaga itu jasa budi itu yang kita nak budi itu,” katanya.

Oleh itu, ujarnya, janganlah hendaknya perkara ini dipolitikkan kerana ujarnya banyak kebaikkan yang telah beliau bawa balik selepas kunjungannya ke China. – Sarawakvoice