Friday, October 22, 2021

Tragedi tongkang karam di Pulau Bruit: Mayat dipercayai mangsa pertama dijumpai

Mesti baca

DARO: Mayat seorang lelaki dipercayai mangsa tongkang karam berhampiran Kampung Betanak di Pulau Bruit dua hari lalu dijumpai terdampar di tebing Kampung Salah Kechil, dekat sini, sekitar jam 12 tengah hari tadi.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi Daerah Maritim Kuching, Shahref Steve Mcqueen Abdullah, mayat tersebut dijumpai orang awam yang terlibat dalam gerakan mencari dan menyelamat (SAR) yang bermula pada jam 6 pagi tadi.

“Ketika ini mayat tersebut telah dibawa ke Kampung Betanak menggunakan bot maritim untuk tujuan pengecaman dan mengenal pasti identitinya,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Operasi SAR pada hari ini bermula seawal jam 6 pagi, menggunakan tujuh aset berupa bot.

“Tiga aset bot digerakkan oleh APMM manakala selebihnya setiap satu oleh Polis Marin, Bomba dan Penyelamat, Rela dan Angkatan Pertahanan Awam.

Dalam kejadian yang dipercaya berlaku di antara jam 9 hingga 10 malam Sabtu lalu, tongkang yang didaftarkan dengan nama “Jin Fiat No.1” sedang dalam perjalanan dari Sebuyau menuju Pulau Bruit dengan membawa batu kelikir untuk kerja-kerja membina jalan di pulau terbabit.

Ketika kejadian, kapal dengan enam anak kapal itu bagaimanapun tenggelam kira-kira tiga batu nautika dari Kampung Betanak, kerana faktor cuaca dan ombak besar.

Dua daripada mangsa bagaimanapun terselamat setelah berjaya berpaut pada buritan kapal, sebelum diselamatkan oleh seorang nelayan yang kebetulan lalu di kawasan tersebut, keesokan harinya.

Dua mangsa yang selamat ini dikenal pasti sebagai Melvin Francis, 20 tahun dan Kenny Clement,18 tahun.

Manakala mangsa yang hilang dikenal pasti sebagai jurumudi Pawi Nyawan, 50-an, operator kren, Kamal 30-an, Angga Wahyudi, 24 tahun dan Mira, isteri Kamal.

Ini kejadian kemalangan laut kedua terbesar yang dikaitkan dengan Pulau Bruit selepas insiden perahu karam di Muara Batang Lassa pada Januari 2014. – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru