KUALA LUMPUR: Menteri Kewangan Kedua Datuk Johari Abdul Ghani memberi jaminan bahawa Malaysia tidak menambat atau mengenakan kawalan modal ke atas mata wang.

Hal ini bertujuan menggalak pelabur serta institusi kewangan mengakses pasaran dalam negeri.

Sebelum ini, ANZ dan Macquarie Bank mengakui peniaga mereka di pasaran luar pesisir cuba memanipulasi kadar penanda aras utama dalam pasaran tukaran asing di Malaysia yang melanggar undang-undang kartel sehingga didenda jutaan dolar.

Johari memberi jaminan kepada pelabur bahawa pelaburan mereka di Malaysia dilindungi dan spekulator tidak dapat mengambil kesempatan.

Johari melihat tindakan Bank Negara yang cuba membendung pasaran tukaran asing luar pesisir di luar negara sebagai berasas.

“Saya menyokong penuh tindakan Bank Negara memastikan lebih banyak tukaran asing serta aktiviti perlindungan nilai dijalankan di dalam negara,” kata beliau.

Bercakap kepada pemberita selepas melepaskan peserta Kampung Baru MTB Challange, pada Ahad, Johari berkata Bank Negara melaksanakan pengawasan dan mekanisme sewajarnya demi memastikan semua pihak dilindungi daripada aktiviti spekulator luar pesisir.

Johari mengakui sukar membendung aktiviti spekulasi ke atas ringgit di pasaran luar pesisir, namun dengan adanya asas ekonomi yang kukuh di dalam negara, aktiviti seumpama itu tidak menjejaskan ringgit.

Johari yakin dengan negara mempunyai asas yang baik, mata wang akan kembali pulih pada kedudukan ia sepatutnya berada, dukan di tangan para spekulator. – Sarawakvoice