Perhimpunan Agung UMNO (PAU): Meluangkan retorik atau tangani isu Bumiputera

Kolumnis: Dr Muhammad Asri Mohd Ali
Kolumnis: Dr Muhammad Asri Mohd Ali

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang akan diadakan pada 30 November hingga 2 Disember  ini agak istimewa kerana sekurang-kurangnya dua sebab. Pertama, berbanding dengan PAU 2015, musuh dalam selimut kepada parti seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal, Datuk Seri Muhkriz Mahathir dan Datuk Seri Haznihadzlah tidak lagi bersama UMNO.

Kedua, terdapat banyak tanda-tanda yang menunjukkan PRU 14 mungkin diadakan pada tahun 2017 dan bukannya 2018. Jika perkara ini betul, maka PAU merupakan senjata utama UMNO untuk memperteguh dan memperkuatkan barisan.

PRU 14 pastinya merupakan ujian getir buat UMNO dan BN kerana bala tentera pihak lawan kelihatannya akan dipimpin oleh mantan guru besar sekolah politik BN, iaitu Tun Mahathir.

Katalah apa sahaja terhadap Tun M, rakyat tetap menganggap beliau sebagai hero. Tun M telah mencapai darjat seperti P Ramlee dalam dunia hiburan, legenda rakyat. Orang yang mengatakan mengenai Tun M pula sebaliknya akan dimaki hamun oleh rakyat. Adalah amat rugi sekiranya ucapan-ucapan PAU pada kali ini digunakan untuk membelasah Tun M dan para pengikutnya.

PAU pada kali ini seharusnya diolah dan digarapkan untuk mencari jalan keluar kepada permasalahan Melayu dan Bumiputera.  

Kegagalan UMNO di negeri Selangor (semenjak PRU 12 dan 13) dan Kelantan (PRU 8 hingga PRU 13) sebenarnya memberi pengalaman terbaik kepada UMNO untuk mengetahui kenapa mereka ditolak oleh rakyat.

Antaranya kerana masalah perpecahan dalaman, pemimpin yang tidak bermoral tinggi, gagal memberi tempat kepada golongan professional Melayu dan gagal membezakan antara parti dan kerajaan (menjadikan parti tidak ada ‘ownership’).

Sehingga kini, tiada tanda-tanda yang menunjukkan undi masyarakat Cina akan kembali kepada BN. Tanpa sokongan bukan Melayu, negeri seperti Pulau Pinang dan Selangor kelihatannya akan terus kekal di tangan pembangkang.

PRN Sarawak dan dua PRK (Sungai Besar dan Kuala Kangsar) tidak seharusnya mengembirakan UMNO secara berlebihan kerana itu adalah kawasan tradisi mereka. BN semata-mata berharap kepada undi Melayu dan Bumiputera Sabah dan Sarawak sahaja untuk kekal bertahan.

Pengundi  Melayu dan Bumiputera di luar bandar tidak terlepas daripada beberapa isu getir yang mencengkam mereka. Antaranya ialah kenaikan kos sara hidup, jurang kemiskinan yang makin melebar, kemudahan asas dan masalah jenayah.

Adakah para jurucakap di PAU pada kali ini mempunyai keberanian untuk melontarkan idea-idea membina untuk merungkaikan masalah Bumiputera seperti di atas atau sekadar beretorik, memuji-muji pemimpin dan memecahkan hilai ketawa dengan cerita-cerita lawak basi?

Sudahkah ahli Majlis Tertinggi bersedia dengan fakta dan hujah-hujah yang menyakinkan untuk menangani masalah ekonomi, pendidikan, agama, wanita, generasi muda, jatidiri Melayu dan pembangunan negara secara umumnya?

Penghujahan di PAU sudah seharusnya mampu menunjukkan suatu penanda aras bahawa UMNO tahu bagaimana untuk memenangi hati dan minda segmen-segmen masyarakat Melayu dan Bumiputera yang semakin pelbagai, dimana variasinya yang paling bawah ialah petani dan nelayan sehinggalah kepada kelas menengah dan pengurus dana bernilai ratusan juta ringgit!