Netanyahu hubungi Presiden Palestin ucap terima kasih bantu padam kebakaran

TEL AVIV: Pihak berkuasa Palestin mengerah lapan trak bomba dan puluhan anggota bomba membantu Israel mengatasi kebakaran hutan di Haifa.

Kebakaran hutan marak dengan cepat ke rumah-rumah warga sehingga mengabitkan pemindahan sekitar 85,000 penduduk.

Siaran akhbar Israel menyebut, PM Netanyahu menghubungi Presiden Palestin Abu Mazen dan berterima kasih atas bantuan anggota bomba mengatasi api tersebut.

“PM Netanyahu juga menghargai warga Yahudi dan Arab yang bersedia membuka rumah mereka bagi yang terkena kesan kebakaran,” kutip Sputnik dari akhbar Israel pada Ahad.

Rusia, Turki, Greece, Itali, Croatia dan Cyprus dan Amerika Syarikat turut menghantar pasukan bantuan masing-masing bagi meredakan kebakaran terbabit.

Sekitar 130 orang dirawat di beberapa hospital setelah api marak dengan begitu cepat.

Sebahagian besar mangsa kebakaran di Israel menghadapi gangguan pernafasan akibat terhidu banyak asap.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri Israel, Gilard Erdan, mendakwa ada pihak yang sengaja memulakan kebakaran.

PM Netanyahu mengatakan, jika terbukti bersalah, para pelaku dianggap melakukan jenayah yang setara dengan terorisme.

Dalam perkembangan lain, sebuah kumpulan pejuang Palestin yang bersekutu dengan al-Qaeda mendakwa bertanggungjawab atas kebakaran di Israel menurut laporan Dailymail.

Kumpulan Salafi Palestin Ma’sadat al-Mujahidin mengakui terlibat dengan kebakaran di Haifa, bandar ketiga terbesar Israel.

Polis setakat ini menahan 12 orang yang mempunyai kaitan dengan insiden tersebut.

Setakat ini kebakaran adalah terkawal, namun polis memberi amaran meminta agar rakyat bersedia dengan sebarang kemungkinan.

Wakil Yayasan Jamestown yang mengawasi pengganas memberitahu The Independent mengatakan dakwaan kumpulan Ma’sadat al-Mujahideen itu turut mengundang persoalan.

“Terdapat satu lagi kumpulan yang dikenali sebagai Gabungan Belia Intifada turut mengaku bertanggungjawab atas kebakaran ini pada Khamis lalu,” katanya. – Sarawakvoice