Gangguan elektrik utama di Sarawak akan berterusan sehingga projek talian transmisi kedua 500kV selesai – Sarawak Energy Berhad

KUCHING: Sarawak akan berterusan mengalami gangguan bekalan elektrik secara besar-besaran sepanjang tahun ini dan tahun hadapan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Berhad, Sharbini Suhaili.

Menurutnya, keadaan ini akan terus berlaku sehingga kerja-kerja kritikal pemasangan sistem talian penghantaran kedua 500kV selesai.

“Dijangkakan dua atau tiga gangguan utama akan berlaku dalam tempoh setahun sehingga bahagian kritikal projek ini siap sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan kepada media semalam.

Menteri Kemudahan Awam, Datuk Stephen Rundi Utom yang turut kesal dengan apa yang berlaku memberitahu, perunding antarabangsa telah dilantik untuk mengendalikan laporan mengenai kejadian tersebut.

“Gangguan dua kali pada Sabtu dan Ahad lalu berlaku disebabkan oleh sadungan pada talian transmisi di Selangau-Oya 275kV dan talian Kemena-Selangau 275kV.

“Kedua-dua gangguan ini menyebabkan bahagian selatan Sarawak bergelap, namun sistem sokongan berjaya menghidupkan kembali kuasa dalam tempoh satu hingga tiga jam,” katanya lagi.

Berhubung projek talian transmisi 500kV ini yang pada asalnya dijadualkan siap pada tahun ini, Rundi berkata projek ini akan mengalami kelewatan dan dijangka siap pada suku kedua 2017 berikutan masalah pada keizinan tanah.

“Ada beberapa masalah yang perlu diselesaikan dan antaranya termasuklah tuntutan yang melampau oleh pemilik tanah yang hendak kita gunakan,” katanya dalam sidang media di Dewan Undangan Negeri, sebaik sesi penggulungan kementeriannya selesai.

Untuk itu katanya, pihaknya memohon kerjasama semua pihak terutamanya pemilik tanah di negeri ini untuk membantu Sarawak Energy Berhad menyelesaikan isu projek ini secepat mungkin tanpa sebarang penangguhan.

Berkaitan kerugian yang dialami oleh pengguna, terutama para peniaga akibat gangguan kuasa tersebut, pihaknya sedang mengumpul laporan penuh daripada pihak perunding bebas dan antarabangsa yang telah dilantik, sebelum membuat sebarang tindakan, jelasnya lagi. – Sarawakvoice