Saturday, October 23, 2021

Empat mangsa tongkang karam di Pulau Bruit terus hilang, ops SAR bersambung hari ini

Mesti baca

TANJUNG MANIS: Laut bergelora dan angin kencang menyebabkan operasi mencari dan menyelamat empat mangsa kapal tongkang karam berhampiran Kampung Betanak, Pulau Bruit, dekat sini ditangguhkan semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Farhan Sufyan Borhan berkata, kapal yang didaftarkan dengan nama “Jin Fiat No.1” yang membawa batu kelikir itu dipercayai karam di antara jam 9 hingga 10 malam tadi, namun hanya dilaporkan kepada pihak berkuasa sekitar jam 8.33 pagi.

“Ketika kejadian, kapal dengan enam anak kapal tersebut dalam perjalanan dari Sebuyau menuju Pulau Bruit dan tenggelam kira-kira tiga batu nautika dari Kampung Betanak.

“Dua daripadanya bagaimanapun terselamat setelah berjaya berenang melawan arus sebelum berpaut pada buritan kapal,” jelasnya.

Kedua-duanya kemudian diselamatkan oleh nelayan yang dikenali sebagai Sarbini Salohie yang kebetulan lalu di kawasan tersebut.

Berdasarkan maklumat mangsa, kata Farhan, kapal mereka menjadi tidak stabil dan terbalik kerana alunan ombak besar serta angin kencang yang berlaku secara tiba-tiba.

“Ketika kejadian, mereka berdua sedang bekerja di atas kapal manakala rakan lain berada di dalam bilik tidur kapal,” katanya lagi.

Operasi SAR kata Farhan lagi, kini dikendalikan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang diketuai Leftenan Maritim Sheikh Mohd Faizul Izhab.

“Pencarian dibahagikan kepada empat sektor iaitu sektor 1 (APMM), Sektor 2 (APMM),Sektor 3 (Pasukan Polis Marin) dan Sektor 4 (Bomba dan Penyelamat), melibatkan radius pencarian seluas lima batu nautika dari pesesir pantai bagi setiap sektor.

Dua mangsa yang selamat katanya, dikenal pasti sebagai Melvin Francis, 20 tahun dan Kenny Clement,18 tahun.

Mangsa yang hilang pula dikenal lasti sebagai Kapten Pawi Nyawan, 50-an, Kamal 30-an, Angga Wahyudi, 24 tahun dan Mira, isteri Kamal. – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru