SANTUBONG: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim amat terkilan dengan laporan al-Jazeera yang memburukkan nama Malaysia sebagai hab sindiket jual bayi.

Rohani berkata, “jika sindiket ini benar-benar berlaku di negara kita, saya mahu pihak polis melakukan tangkapan dan kami sedia membantu terutama dari segi memberi perlindungan kepada mangsa sindiket.”

Rohani selepas penutupan Seminar Kepimpinan Transformasi Ketua Masyarakat Parlimen P.201 Batang Lupar pada Ahad berkata, kementeriannya serta Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Kesihatan dan Jabatan Pendaftaran Negara bermesyuarat membincangkan perkara tersebut.

Selain menyiasat, langkah menyelamatkan bayi yang dilapor diperdagangkan ini perlu diambil.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar  menolak tanggapan bahawa Malaysia merupakan hab penjualan bayi seperti dilaporkan oleh al-Jazeera.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan lanjut berhubung dakwaan al-Jazeera itu. – Sarawakvoice