Sunday, September 25, 2022

Urus niaga kanak-kanak: Polis perlu tangkap pihak terlibat

Secara Rawak

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menyeru supaya pihak polis mengambil tindakan segera untuk menyiasat dan menangkap semua pihak yang terlibat dalam urus niaga kanak-kanak yang amat kejam dan tidak bermoral.

Sebagai sebuah Kementerian yang bertanggungjawab ke atas perlindungan dan kebajikan kanak-kanak, KPWKM memandang serius akan isu penjualan kanak-kanak kerana ia adalah bercanggah dengan Artikel 35 Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan juga Protokol Pilihan berkenaan penjualan kanak-kanak, pelacuran dan bahan-bahan lucah terhadap kanak-kanak.

“Sebagai sebuah negara pihak kepada CRC dan protokol pilihannya, Malaysia mempunyai komitmen untuk mengambil segala langkah untuk mencegah kanak-kanak daripada sebarang aktiviti penjualan dan pelacuran,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan laporan Al-Jazeera   “Malaysia: Babies For Sale-101 East”  semalam.

Kementerian itu berkata ia mengecam sekeras-kerasnya sebarang aktiviti penjualan bayi yang dilakukan di Malaysia.

Katanya, KPWKM akan menubuhkan dua jawatankuasa dalam masa terdekat iaitu jawatankuasa pemandu dan teknikal yang akan melibatkan pelbagai stakeholders dalam melaksanakan “Pemeliharaan Berasaskan Keluarga [PBK]”.

Di bawah Seksyen 48, Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611] telah menetapkan bahawa mana-mana orang yang terlibat dalam pemerdagangan kanak-kanak melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Sekiranya dibuat bagi tujuan eksploitasi seksual atau pelacuran pula,  ia boleh dihukum di bawah seksyen 43(1)(aa) Akta yang sama iaitu dengan hukuman sebanyak RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 15 tahun atau kedua-duanya.

Selain daripada itu, katanya,  dalam pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 baru-baru ini, KPWKM juga telah memasukkan elemen yang membolehkan Malaysia melaksanakan konsep “Pemeliharaan Berasaskan Keluarga. Konsep ini mengutamakan penjagaan kanak-kanak oleh keluarga dan menjadikan institusi sebagai pilihan terakhir kerana keluarga adalah tempat yang paling baik untuk kanak-kanak membesar.

Bagi tujuan pelaksanaan konsep ini, Kerajaan, katanya,  perlu mempermudahkan prosedur pengangkatan  dan pemeliharaan  bagi memudahkan rakyat Malaysia untuk menjaga kanak-kanak yang ditinggalkan dalam rumah anak yatim.

“Prosedur pengangkatan adalah di bawah undang-undang pengangkatan yang ditadbir bawah Jabatan Pendaftaran Negara manakala prosedur pemeliharaan pula ditadbir di bawah KPWKM. Dengan mempermudahkan prosedur, KPWKM yakin ibu bapa yang ingin mengangkat atau mengambil anak pelihara tidak akan mengambil risiko membeli anak seperti yang dilaporkan dalam Al-Jazeera di masa depan,” katanya lagi.

“KPWKM ingin menyeru semua ibu bapa yang ingin mengambil anak angkat atau anak pelihara supaya menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah untuk mendapatkan nasihat daripada pegawai JKM dan tidak memilih untuk mengambil tindakan yang melanggar undang-undang. KPWKM akan berusaha untuk membantu ibu bapa tersebut bagi mendapatkan anak melalui kaedah yang betul dan akan membimbing ibu bapa ini cara yang paling baik untuk menjadi ibu bapa yang penyayang,” tambahnya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru