Tanah runtuh Serendah: Bantuan segera dihulurkan

KUALA SELANGOR: Menteri Besar Selangor telah menghubungi Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dan Majlis Daerah Hulu Selangor untuk segera menghulurkan bantuan kepada mangsa  kejadian tanah runtuh di Taman idaman, Serendah, awal pagi tadi.

Dalam kejadian itu, seorang  penunggang motosikal dilaporkan cedera, manakala sekurang-kurangnya enam kereta, dua motosikal dan sebuah van milik penduduk taman itu turut tertimbus dalam runtuhan.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Fareez, 21, dilaporkan patah kaki dan tangan dikatakan dalam perjalanan untuk pulang ke rumahnya dalam kejadian kira-kira jam 1.20 pagi itu.

Datuk Seri Azmin Ali yang kini berada di Jepun atas urusan rasmi, dimaklumkan berkenaan kejadian itu, beberapa jam selepas ia berlaku dan memberitahu JKR Selangor akan segera ambil alih kerja-kerja pembaikan jalan yang runtuh  dengan kos ditanggung kerajaan negeri.

Dalam beberapa siri tweet di akaun Twitter, Azmin berkata kerajaan Negeri mahu tindakan yang proaktif diambil segera untuk menjamin keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
Runtuhan sepanjang hampir 100 meter dari kawasan rumah teres sehingga ke kawasan bekas lombong itu turut meranapkan tujuh unit kedai.

Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Sani Harul, berkata pihaknya yang dimaklumkan mengenai kejadian pada jam 1.02 pagi, tiba di lokasi kira-kira 16 minit kemudian.

Demi keselamatan, pihak Bomba telah meminta penduduk dua rumah berhampiran berpindah sementara waktu.