Penderitaan dan kesengsaraan Rohingya: Kita tidak boleh tuli dan pekak

Dunia perlu membuka mata kepada tragedi yang menimpa etnik minoriti Rohingya di Myanmar. Dunia, terutama negara Islam tidak boleh mengambil sikap tuli dan pekak terhadap tragedi kemanusiaan yang menimpa etnik berkenaan, kecualilah semua kita sudah hilang perasaan kemanusiaan.

Kekejaman dan pembunuhan yang diperlakukan terhadap Rohingya tidak boleh dibiarkan berlarutan. Kini pun imej satelit memperlihatkan sekitar 450 bangunan di tiga perkampungan Rohingya di Rakhine dibakar oleh tentera Myanmar.

Rohingya dibunuh, dirogol, dikelar kepala, dibakar tanpa sedikit pun perasaan kemanusiaan. Kegilaan bagai menguasai pihak tertentu di Myanmar untuk membunuh etnik minoriti itu.

Imej kesengsaraan mereka diviralkan di seluruh dunia.

Kita di Malaysia juga marah dan sedih dengan peristiwa berkenaan.

Itulah sebabnya, selepas solat Jumaat semalam, umat Islam di Malaysia, Indonesia, dan Bangladesh melancarkan tunjuk perasaan mengutuk kekejaman yang berlaku.

Prasangka, diskriminasi dan stereotaip terhadap Rohingya menyebabkan mereka diseksa.

Adakah  tentera dan pihak berkuasa Myanmar melancarkan pembersihan etnik di negara itu?

Rohingya sudah tidak lagi dapat menanggung kesengsaraan dan penderitaan sekarang. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

PBB menyatakan pelarian Rohingya adalah antara kumpulan paling tertindas di dunia.

Mereka tiada negara kerana Myanmar tidak mengiktiraf kehadiran mereka, manakala Bangladesh, juga tidak mahu menerima mereka.

Ramai yang menderita di sempadan, termasuk kanak-kanak, orang tua dan wanita.

Media antarabangsa melaporkan 30,000 Rohingya di sempadan Myanmar-Bangladesh hilang tempat tinggal akibat keganasan yang dikatakan didalangi tentera Myanmar.

Tentera yang bersenjata membunuh Rohingya, justeru mereka menyelamatkan diri dan lari ke Bangladesh.

Agensi pelarian PBB berkata, lebih 120,000 pelarian Rohingya sudah meninggalkan Rakhine di utara Myanmar sejak pertumpahan darah pada 2012.  Kebanyakan mereka pergi ke Malaysia melalui perjalanan laut.

Dalam keadaan sekarang, negara Islam, termasuk Malaysia perlu memberi tekanan ke atas Myanmar supaya menghentikan kekejaman dan pembunuhan.

PBB perlu campur tangan dan perjanjian damai perlu diadakan segera.

Jika tidak, kekejaman dan kesengsaraan akan terus bermaharajalela. – Sarawakvoice