Bagi ibu terdesak, sila “buang bayi” di hospital Stutong, tiada CCTV

KUCHING: Kes pembuangan bayi meningkat dua kali ganda di Sarawak dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sarawak melaporkan sembilan kes buang bayi berlaku pada Januari hingga Oktober 2016.

Bercakap pada sidang media Perbincangan Bersama Project Baby Hatch KPJ di Dewan Undangan Negeri Sarawak pada Jumaat, Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah berkata, kes buang bayi di Sarawak membimbangkan.

Justeru, menurut Fatimah, Kuching Specialist Hospital (KPJ) Tabuan di Stutong menjadi hospital pertama di Sarawak mengambil inisiatif menyediakan tempat perlindungan bayi atau “baby hatch” yang dirasmikan 20 Januari 2017.

Kerajaan Negeri bersetuju dengan cadangan seperti ini.

Selain membendung gejala buang bayi, ia dapat memberi perlindungan sewajarnya kepada bayi yang “diletakkan” di sini berbanding dibuang merata-rata oleh ibu yang terdesak.

“KPJ bertujuan mengurangkan pembuangan bayi yang ditinggalkan di tempat tidak selamat dan menyelamatkan nyawa yang tidak berdosa,” ujar Fatimah.

Beliau juga memberitahu, bagi yang menghantar bayi di KPJ, identiti mereka tidak diketahui kerana di “baby hatch” tersebut, tiada kamera litar tertutup (CCTV) atau tiada pengawasan dilakukan. – Sarawakvoice