KUCHING: Kerajaan Persekutuan menghormati pandangan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang tidak menyokong Rang Undang-Undang (RUU) 355.

Adenan turut meminta Ahli Parlimen Sarawak agar tidak mengundi RUU yang dibawa oleh pemimpin PAS, Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

Kerajaan Persekutuan juga menghormati pandangan berbeza beberapa pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) lain berkaitan RUU 355 yang dibaca pada Persidangan Dewan Rakyat kali ini.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Ahmad Zahid Hamidi berkata RUU tersebut dibentang oleh kerajaan pada sesi yang akan datang.

Walaupun RUU persendirian tersebit dibentang oleh Ahli Parlimen Marang, namun ia bukan usul yang dipaksakan oleh kerajaan untuk beliau membawanya.

Jelas beliau kerajaan membenarkan RUU itu dibentang berdasarkan peruntukan yang terdapat dalam sidang Dewan Rakyat.

Zahid menyifatkan undang-undang tersebut sudah lama wujud dan pernah dipinda pada 1984, jadi ia bukan melibatkan isu baru.

Bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas mengunjungi Ketua Menteri di bangunan Dewan Undangan Negeri, Petra Jaya pada Khamis, Zahid berkata jika RUU persendirian itu diterima, ia tidak diperbahaskan dan juga tidak melibatkan pengundian.

Beliau berkata RUU bertujuan menaik taraf Mahkamah Syariah yang berada pada kedudukan agak rendah.

Kerajaan sendiri mahu ia dilaksanakan dan ia bukan undang-undang hudud.

Zahid berkata satu jawatankuasa terdiri daripada pemimpin Islam dan bukan Islam diwujud untuk membincangkan RUU ini bertujuan memberi penjelasan pindaan yang akan dilakukan. – Sarawakvoice