Sunday, January 23, 2022

Mengapa BN Sarawak tolak RUU Hadi Awang?

Secara Rawak

uki-ruu00

Dr Awang Azman Awang Pawi
Dr Awang Azman Awang Pawi

Sejak bulan Jun 2016, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem menyatakan pendirian BN Sarawak untuk menolak Rang Undang-undang (RUU) Persendirian  bagi meminta Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355).

Pertimbangan ini dibuat memandangkan Sarawak merupakan negeri yang mempunyai penduduk pelbagai  etnik. Malah Islam di Sarawak hanya mewakili sekitar 30 peratus.  Apa-apa tindakan  BN Sarawak  perlu memancarkan realiti etnik di Sarawak dan peratusan anutan kepercayaannya.

Pendirian Ketua Menteri Sarawak

Sebelum itu, pada Ogos 2015, Ketua Menteri menegaskan bahawa penggunaan kalimah Allah bagi merujuk kepada Tuhan yang bukan Islam di Sarawak tidak akan disekat.

zahid-ruu35511

Jaminan ini diberikan oleh beliau kepada seluruh rakyat Sarawak tanpa mengira agama dan bangsa. Adenan juga meminta agar semua masyarakat saling menghormati agama antara satu sama lain. Dalam konteks Sarawak, misalnya ada pelbagai aliran seperti Katolik, Anglikan, SIB, Methodist dan sebagainya.  

“Saya bagi jaminan sebagai Ketua Menteri Sarawak yang beragama Islam, bahawa  anda bebas mengamalkan ajaran agama  anda menurut  kepercayaan anda.

Saya tidak akan  memberitahu bagaimana hendak mempraktiskan dalam agama dan Tuhan anda,” tegas Adenan dalam majlis perjumpaan dengan rakyat Sarawak.

“Anda bebas menggunakan kalimah Allah dalam Bible anda. Ini Sarawak…isu kalimah Allah tak dipolemikkan di Sarawak…tidak seperti di Semenanjung Malaysia.  Agama saya  ialah agama saya, agama anda ialah agama anda. Kita hormati setiap agama,” tegasnya. Tindakan seumpama ini dianggap sebagai  satu bentuk budaya politik etnonasionalisme yang menjadi ciri khusus budaya politik Sarawak.

zahid-ruu35510

BN Sarawak Terus Bertegas

Baru-baru ini ketika sidang Dewan Undangan Negeri Sarawak, Adenan  mengarahkan kesemua Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Sarawak, termasuk yang beragama Islam untuk tidak bersetuju terhadap Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU355).

Dr Sim mendakwa semua parti komponen BN negeri juga bersatu dalam hal ini. Parti komponen BN negeri tidak akan menyokong RUU yang akan dibaca kali kedua di Parlimen.

Hal ini dinyatakan oleh Presiden SUPP, Datuk Dr Sim Kui Hian yang turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Unggah Embas, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dan Tan Sri James Masing.

Pendirian

Dalam satu sidang media pertengahan 2016, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi PBB, Presiden Parti PBB tersebut berulang kali menyatakan bahawa BN Sarawak tidak akan menyokong RUU hudud.

“Kita tidak akan menyokong RUU hudud. Kami berbilang kaum dan umat Islam hanya 25 peratus. Kami bukan Kelantan. Pada dasarnya, kami menentang Rang Undang-undang hudud,” kata beliau.  

Parti PBB merupakan parti kedua besar di Malaysia selepas parti UMN0 yang kini mempunyai 14 ahli parlimen.

Sarawak kini mempunyai 31 Ahli Parlimen merangkumi 25 dari BN, lima (DAP) dan seorang wakil PKR.

zahid-ruu35509

Realiti RUU?

Pada masa yang sama, daripada  perspektif Rang Undang-undang tersebut  tujuannya dibentangkan oleh Presiden Pas di Parlimen adalah untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 berkaitan dengan had jumlah hukuman.

Pindaan tersebut juga dilihat untuk memastikan satu bidang kuasa lebih tinggi diberikan kepada Mahkamah Syariah kerana Mahkamah Sivil sudah lama dan berpuluh-puluh  tahun menggunakan undang-undang British.

RUU355  juga ditegaskan oleh pihak

pro-RUU sebagai bukanlah bertujuan untuk mewujudkan undang-undang baharu. Sebaliknya,  cuma terhad  kepada pindaan berkaitan had jumlah hukuman yang boleh disabitkan oleh Mahkamah Syariah Negeri.

Hal ini kerana  kerana undang-undang Islam sudah  sedia lama sudah lama tak disemak, dipertingkatkan atau diperbaharui.

Ada yang menyatakan  sekiranya selama ini terdapat Akta Perihal Dagangan 2011 untuk pematuhan halal, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 untuk menyelaras aspek muamalat dan Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984  dalam urusan  pentadbiran dan urusan kekeluargaan Islam dipersetujui, namun hal  yang dikatakan sebagai  untuk keadilan dalam Islam  kurang difahami.

Hadi menyatakan RUU yang diusulkan tidak ada kaitan dengan hudud, sebaliknya, hanya untuk menaik taraf Mahkamah Syariah sedia ada.

Menurut Hadi RUU hanya tertakluk penganut Islam tanpa mengira fahaman politik dan kedudukan dalam masyarakat dan tugasnya. Langkah ini tidak mempunyai kaitan dengan pelaksanaan hukum hudud.

hadi_0000

Malah Hadi bersedia untuk berdialog dengan sesiapa  bagi menjelaskan kekeliruan ini.

Pendirian Hadi ialah  ini urusan agama Islam  dan tidak perlu campur tangan oleh  bukan beragama Islam. Pembentangan RUU ini dianggap sebagai hak orang Islam menentukan undang-undang agama mereka sendiri. Orang bukan Islam  juga dijamin kebebasan beragama oleh Perlembagaan Persekutuan.

Justeru, terdapat pandangan bahawa  hal ini perlu dilihat daripada perspektif atau sumber yang tepat dan bukan berdasarkan andaian semata-mata, spekulasi dan kaca mata politik sahaja.

Tokoh  dan pakar undang-undang tersohor dunia dan negara Allahyarham Profesor Emeritus  Ahmad Ibrahim  yang mengasaskan Fakulti Undang-Undang  Universiti Malaya  dan di Universiti Islam Antarabangsa  pernah  mengangkat isu  bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah yang sangat terbatas dan perlu usaha untuk menaik taraf institusi yang terlibat.  

Di sinilah peranan ahli agamawan dan ilmuan diperlukan membahaskan isu agar tidak membawa kekeliruan kepada rakyat.

Malah terdapat pendapat bahawa perlu diberikan kepada semua ahli parlimen  untuk bebas berbahas, membincangkan  secara melihat dengan perspektif yang menyeluruh. Maknanya, perlu ada dialog atau wacana nasional bagi membincangkan secara menyeluruh dan kritis.

Statistik  Kebangsaan

Berdasarkan statistik rasmi 2010, terdapat 61.3 peratus penduduk  beragama Islam , 19.8 peratus  beragama Buddha, 9.2 peratus beragama Kristian, 6.3 peratus Hindu dan hanya 1.2  menganut agama tradisional Cina dan lain-lain.

Hal ini bermakna agama Islam di negara Malaysia masih lagi agama majoriti rakyat Malaysia.

Namun ada juga pihak melihat Rang Undang-undang (RUU) Persendirian  ini sekadar mainan politik  di antara PAS dan UMNO.

Sekiranya diluluskan nanti maka dianggap timbul persepsi dan simbol terdapat kerjasama PAS dan UMNO.   

Adenan yang berpengalaman luas  dan bijaksana dalam dunia politik tidak mahu terikut-ikut  dengan permainan ini, dan lebih bersikap bertimbang tara dan cuba meletakkan Sarawak bebas daripada intrig ini.

Sejauh manakah persepsi yang  melingkari Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian ini benar? Dalam politik persepsi, ia  lebih hidup daripada realiti,  namun  tindakan mempolitikkan tentulah kurang wajar.

zahid-ruu35502

TPM: RUU Bukan  Mengenai Hudud

Sebab itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan  dan  memberikan jaminan kepada Ketua Menteri Sarawak  bahawa RUU tersebut bukan mengenai undang-undang hudud.

Sebaliknya, lebih untuk meminda  undang-undang yang sedia yang sudah lama tidak diperbaharui.

Ahmad Zahid yang datang sendiri ke Dewan Undangan Undangan Negeri Sarawak  dan mengadakan sidang akhbar  menegaskan soal undi menyokong atau sebaliknya,  tidak timbul dan semua pihak tidak seharusnya terburu-buru mengenainya kerana banyak proses perlu dilalui sebelum sampai ke peringkat itu.

Tegas beliau lagi, sebarang langkah ke arah penerimaannya, ternyata memerlukan beberapa langkah lagi diambil, dan sama sekali tidak dapat dilaksanakan  secara tergesa-gesa.

Ternyata, rasionaliti dalam hal ini memerlukan kebijaksanaan semua pihak bagi melihat isu ini secara lebih menyeluruh.

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru