Lonjak imej Islam, tanggungjawab umatnya sendiri – TPM

KUCHING: Umat Islam harus bergantung kepada diri sendiri dan bukan kepada orang lain dalam melonjakkan imejnya sebagai umat paling maju dan berjaya , Kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, semalam.

Menurutnya, menjadi tanggungjawab umat Islam di negara ini memberi imej yang baik kepada agama ini, dan bukannya dipalit dengan imej yang negatif.

“Untuk menjagakan agama Islam, kita harus meletakkan orang Islam supaya sentiasa berada di barisan hadapan, untuk memperlihat bahawa kita yang paling maju, kita yang paling mencapai atau mencipta keamanan, kita menolak kemiskinan, dan kita mengusahakan diri kita untuk lari dari keluar dari kepompong kemiskinan.

“Malah menjadi peranan umat islam juga katanya, untuk menjadi ternama dari segi ilmu, ternama dari segi teknologi, dan menjadi pertama dan ternama dalam pelbagai bidang,” katanya ketika merasmikan Masjid Darul Husni Warrahmah di sini petang semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof, Adun Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman dan mantan Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam), Datuk Daud Abdul Rahman.

Menurut Zahid, hanya dengan cara itulah Islam dapat menukar imejnya.

“Umat Islam harus mengikis pandangan serong yang menjadikan ia ditakuti, digeruni dan dikaitkan dengan keganasan dan kemiskinan.

zahid-ruu35500

“Islam dipandang negatif berikutan tindakan segelintir umat Islam yang mencetuskan suasana tidak tenteram, miskin serta dianggap mundur. Atas sebab itu, kita harus keluar dari belenggu kemiskinan,” tegasnya.

Kerana itulah katanya, institusi masjid dan surau di negara ini perlu diperguna sebaik mungkin untuk melahirkan umat yang cerdik dan berilmu, di samping membantu merancang aktiviti yang membebaskan umat Islam di negara ini daripada belitan kemiskinan.

Masjid Darul Husni Warrahmah ini dibina semula dengan kos RM4.3 juta, dengan RM1.5 juta merupakan peruntukan kerajaan dan RM2.3 juta adalah hasil sumbangan jariah orang ramai.

Ia siap sepenuhnya pada Jun lalu dan kini mampu menempatkan 1,200 jemaah pada satu-satu masa. – Sarawakvoice