Sunday, January 23, 2022

Bumi Arakan sedang bermandi darah Rohingya

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk sekeras-kerasnya kekejaman yang dilakukan tentera Myanmar terhadap etnik minoriti Rohingya di Myanmar dan menggesa kerajaan mengkaji semula hubungan diplomatik dengan negara itu.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia  Khairil Nizam Khirudin berkata, kerajaan perlu memainkan peranan yang proaktif  sebagai anggota aktif dalam Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), Asean dan sebagai anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mendesak campur tangan bagi menghentikan keganasan dan kezaliman yang berlaku di Arakan sekarang.

“Tanpa campur tangan badan-badan tersebut, sebarang usaha untuk menangani konflik tersebut mungkin akan lesu dan tidak menjadi berkesan,” katanya dalam satu kenyataan.

Malah, ujarnya, tanpa desakan dan campur tangan, tidak mustahil orang-orang Rohingya akan menerima nasib yang sama seperti apa yang berlaku di Bosnia-Herzegovina dahulu.

Menurut Khiril Nizam, walaupun Bosnia-Herzegovina sudah kembali seperti sedia kala, kesannya masih dirasai dan diingati oleh umat Islam seluruh dunia akibat; sikap berpeluk tubuh dan sambil lewa OIC dan PBB.

“Kerajaan perlu menghantar mesej yang tegas kepada Myanmar bahawa Malaysia tidak bersetuju dengan cara Myanmar menangani konflik berdarah tersebut. Junta Myanmar seolah-olah melindungi jenayah yang sedang berlaku dan membiarkan ia bermaharaja lela,” tambahnya.

Bumi Arakan sedang bermandi darah akibat pembersihan etnik yang dilakukan ke atas etnik Rohingya.

Mereka dizalimi, dibunuh, dirogol serta dihalau dari kediaman mereka setiap hari.

“Junta  Myanmar juga seolah-olah tidak memperdulikan kecaman dunia terhadap apa yang berlaku, malah cuba menutup jenayah terbabit dengan menyalahkan etnik Rohingya di atas apa yang berlaku,” katanya lagi.

Khiril Nizam berkata, DPPM mendesak Kerajaan membekukan pengambilan warga kerja dari Myanmar sebagai tanda protes terhadap apa yang berlaku terutamanya sikap berdiam diri Myanmar ke atas jenayah tersebut.

DPPM, ujarnya, juga menyokong desakan pelbagai pihak agar Kerajaan terutamanya FAM menarik diri daripada pertandingan Piala AFF yang sedang berlangsung di Yangon, Myanmar sebagai tanda serta signal yang jelas bahawa Malaysia benar-benar serius mahu menangani isu ini. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru