Anggota BN Sarawak selar pembangkang perlekeh usaha kerajaan

KUCHING: Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman menyelar sikap Adun pembangkang yang memperlekeh usaha kerajaan untuk menjaga kebaikan Sarawak dan rakyatnya.

Beliau berkata pihak pembangkang sentiasa mempolitikkan usaha kerajaan atau isu walaupun terbukti ia merupakan perkembangan positif.

Beliau berkata, misalnya Rang Undang-Undang Pengagihan Gas telah diluluskan pada persidangan Dewan Undangan Negeri kali ini tanpa mendapat sokongan pihak pembangkang.

“Bukan sahaja mereka tidak menyokong tetapi turut memperlekeh usaha kerajaan untuk memperoleh kuasa penuh dalam bidang gas meskipun rang undang-undang berkenaan bakal memberi manfaat ekonomi, peluang pekerjaan, penambahan teknologi dan lain-lain lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa membahas Belanjawan Negeri Sarawak 2017 pada persidangan Dewan Undangan Negeri hari ini.

Bagaimanapun, kata Fazzruddin, apabila di luar Dewan suara pembangkang lantang kononnya memperjuangkan hak Sarawak.

“Ia hanya retorik semata-mata. Malah pembangkang berkomplot untuk memburuk dan mencerminkan bahawa kerajaan tidak telus dan korup.

“Perhimpunan kecil dengan plakad menuntut penjelasan berkenaan peruntukan untuk projek kecil luar bandar (MRP), seolah-olah kerajaan tidak mahu respons terhadap usul Adun Kota Sentosa,” katanya.

Beliau berkata terdapat dua perkara dalam usul berkenaan yang membuat pertuduhhan yang berat tanpa asas terhadap kerajaan.

Menurut Fazzruddin, ia hanya niat dan hasrat untuk mendapat poin politik dan memainkan isu untuk memburukkan kerajaan. — BERNAMA