Tuduh RM250 juta disembunyikan, Wong setuju Asfia gantung Chong hadiri sidang DUN

KUCHING: Menteri Kewangan Kedua Dato Sri Wong Soon Koh bersetuju dengan langkah yang diambil oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar menggantung ADUN Kota Sentosa Chong Chieng Jen sepanjang tempoh lapan hari persidangan bermula Rabu.

Mengulas bantahan sekitar 30 ADUN Dap bersama penyokong mereka berhampiran bangunan lama DUN, Wong berkata Chong sengaja membuat kenyataan atau tuduhan yang melanggar keistimewaanya sebagai ahli dewan.

Wong mengecam tindakan ADUN Dap itu dengan berkata, “Chong membuat tuduhan yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak dapat disokongnya dengan bukti.

“Beliau berkata sebanyak RM250 juta wang rakyat hilang, disembunyikan dan sebagainya…” kata Wong menjelaskan hal tersebut kepada pemberita di luar dewan persidangan.

Beliau berkata, mengikut Perintah Tetap 23(1) atau Ordinan Keistimewaan dan Kuasa Dewan, perbuatan Chong itu merupakan satu kesalahan. – Sarawakvoice