Pas ingatkan Mahathir, jangan serang parti itu jika mahu jalin kerjasama

Kebelakangan ini Tun Dr Mahathir Mohamad semakin banyak bercakap dan memberi komen tentang pelbagai perkara.

Berbeza daripada ketika menjadi Perdana Menteri dari 1981-2003, rentak dan pandangan beliau sudah jauh berubah.

Pemimpin yang tidak lagi bersama UMNO, itu menjadikan pemimpin UMNO sebagai musuhnya.

Agendanya hanya satu: untuk memastikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tersingkir dari kerusinya.

Mahathir turut tidak berpuas hati dengan Pas. Pas dianggapnya sebagai hambatan dalam agenda untuk merealisasikan impiannya.

Bagi Mahathir, selagi Pas tidak bersama Pakatan Harapan pada pilihan raya umum ke-14, selagi itulah impian untuk menakluki Putrajaya tidak akan tercapai.

Mahathir, kini Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak senang hati dengan parti Islam itu.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah semalam menasihati Mahathir agar tidak terus mengeluarkan kenyataan berkaitan politik termasuk menyerang Pas agar rakyat lebih menghormatinya.

Sebab, katanya, kebanyakan perkara yang dibangkitkan Mahathir,  kini pernah dilakukannya ketika menjadi Perdana Menteri dahulu.

Mahathir tidak bersetuju dengan tunjuk perasaan jalanan ketika 22 tahun menerajui negara ini.

Malah, beliau menggunakan akta dan undang-undang tertentu untuk menyekat kebebasan bersuara dan berhimpun.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar berkata, Mahathir hanya akan berhenti ‘bercakap’ jika semua pihak mendengar atau mengikuti segala kemahuannya.

“Itu adalah sikapnya sejak dahulu lagi, dan dia akan melakukan apa sahaja tindakan termasuk menyerang Pas yang tidak mengikutnya,”’ ujarnya.

“Beliau akan berhenti bercakap bila semua orang ikut dia,” tambahnya.

“Dia tidak ada kerja sekarang, sebab itu lakukan pelbagai tindakan, bangkitkan semua perkara walaupun kebanyakan yang dibangkitkan pernah dilakukan sebelum ini,” katanya kepada media selepas mesyuarat Exco di sini, semalam.

“Sebagai contoh, dulu dia larang rakyat sertai perhimpunan, tetapi sekarang dia lakukan”

Mohd Amar juga memberi amaran kepada Mahathir supaya berhenti menyerang Pas sekiranya mahu menjalinkan kerjasama dengan parti  Islam itu.

Peringatan Pas itu mungkin ada kewajarannya.

Bagaimana mahu bekerjasama jika pihak atau individu berkenaan asyik menyerang dan mengkritik?

Namun, kerjasama dengan pas tetap dianggap penting. Kalau tidak, Mahathir dan pembangkang boleh terus menyimpan angan-angan dan bermimpi. – Sarawakvoice