KUCHING: Secara purata terdapat seekor buaya pada setiap satu kilometer sungai di Sarawak.

Namun, berbeza dengan Sungai Seblak yang merekodkan terdapat 1.84 buaya pada setiap satu kilometer.

Manakala, di Sungai Kerian terdapat 1.6 buaya pada setiap satu kilometer.

Justeru, berdasarkan kebenaran bagi Sarawak mengurus populasi buaya secara komersial, Sungai Seblak dan Sungai Krian mempunyai potensi besar untuk dilakukan aktiviti penuaian buaya air masin (Crocoddylus Porous).

Sarawak sebelum ini dibenar mengurangkan jumlah spesies buaya ini daripada Apendiks I (menurut Konvensyen Berkaitan Pemerdagangan Antarabangsa) kepada Apendiks II yang membenarkan Sarawak mengurus populasi buaya melalui pemburuan dan perjualan daging serta kulit.

Menteri Muda Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh sebelum itu pada persidangan Dewan Undangan Negeri pada Rabu menjawab kebimbangan Mohd Chee Kadir (BN-Kabong) yang khuatir dengan kehadiran buaya yang semakin mengancam keselamatan manusia.

Len berkata, semenjak 2011 hanya 16 buaya dewasa dihapuskan dalam tujuh operasi menangkap buaya di kawasan paling banyak buaya, di Sungai Seblak dan Sungai Krian.

Beliau berkata operasi yang dijalankan oleh  pasukan SWAT Perbadanan Perhutanan Sarawak itu diteruskan dari semasa ke semasa demi menjamin keselamatan penduduk sekitar dan mengawasi pembiakan reptilia ganas itu.

Terdapat dua spesies buaya di Sarawak iaitu buaya katak air masin dan buaya jejulong air tawar.

Pada 1979, kedua-dua spesies buaya tersebut disenarai sebagai haiwan terlindung kerana terancam pupus.

Sementara itu, berkaitan kuota mengawal populasi buaya liar, Len berkata Kerajaan Negeri membenarkan mereka yang berlesen dalam setahun mengutip sehingga 330 biji telur, 90 anak buaya yang baharu menetas, 45 anak berusia kurang setahun dan 15 buaya dewasa.

Bagaimanapun, tambah Len lagi hanya baru satu lesen dikeluarkan sejak empat tahun lepas. – Sarawakvoice