UMNO ambil berat suara akar umbi

KUALA LUMPUR: UMNO  mengambil berat usul yang dikemukakan oleh akar umbi bagi memastikan pandangan mereka dibawa dan dibahas dalam Perhimpunan Agung, kata Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Malah, Hishammuddin  yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan UMNO berkata,  pandangan pihak luar yang berkepentingan juga diambil kira bagi memastikan perjuangan UMNO menyeluruh.

Perhimpunan Agung akan  berlangsung dari 29 Nov hingga 3 Disember.

“Saya telah dimaklumkan usul-usul tahun lepas sudah dijawab dan ini menunjukkan kita tidak ambil mudah pandangan daripada bawah,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Usul, di sini, semalam.

Hishammuddin berkata draft perbincangan usul yang telah dibincangkan semalam akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Tertinggi Khas.

Untuk perhimpunan kali ini, usul  yang diterima dikategorikan mengikut kluster seperti politik, ekonomi, agama, pendidikan dan sosial.

Hishammuddin berharap perwakilan memanfaatkan perhimpunan dengan membincangkan langkah dan strategi untuk menguatkan jentera parti.

“Perkara yang penting sekarang dalam UMNO, kita kena bersatu, kena bersiap sedia untuk PRU akan datang, rumah tangga kita perlu diperbetulkan dan saya berharap suasana dan perjalanan perhimpunan kali ini menjurus ke arah itu,” ujarnya. – Sarawakvoice