Rohingya paling teruk ditindas di dunia

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)  pernah mengisytiharkan etnik Rohingya  di Myanmar sebagai  satu daripada etnik yang paling teruk ditindas di dunia.

Rohingya dinafikan hak kewarganegaraan. Mereka dilabel sebagai pendatang haram meskipun mempunyai sejarah asal usul yang panjang di negara majoriti Buddha itu.

Etnik minoriti Rohingya menderita teruk. Mereka diseksa dan diperlakukan tanpa kemanusiaan, malah penderitaan yang ditanggung tidak dapat dibayangkan. Daripada gambar yang dikesan, rumah mereka dibakar, dan etnik berkenaan yang beragama Islam dibunuh kejam. Mayat mereka bergelimpangan dan dibuang ke dalam kolam.

Human Right Watch (HRW), seperti dikutip CNN mencatat lebih daripada 1,000 rumah warga Rohingya rata dengan tanah. Bagai dibumi hangus.

Tentera juga mengerahkan helikopter menembak etnik Rohingya.

Sejumlah umat Islam Rohingya cuba melarikan diri ke Bangladesh akibat kekejaman yang semakin meruncing di barat Myanmar.  Agensi berita Reuters melaporkan sebahagian penduduk Rohingya ditembak ketika cuba melarikan diri menyeberangi Sungai Naaf yang memisahkan  di antara Myanmar dengan Bangladesh.

Pelarian yang berjaya sampai ke seberang dihalang pengawal sempadan Bangladesh daripada memasuki negara itu.

Pelarian yang gagal memasuki Bangladesh  dilaporkan tidak akan kembali ke kampung halaman mereka di Myanmar dan berkemungkinan terkandas di lautan.
Sekitar 200 orang penduduk Islam Rohingya terkandas di sempadan Bangladesh.

Pihak tentera turut menutup pintu masuk ke wilayah bergolak yang diduduki majoriti etnik Rohingya.

Jumlah mangsa korban serangan terbaharu kian meningkat, tetapi dunia bagai tidak mempedulikan nasib mereka. Dunia bagai tidak ada fikiran dan perasaan, tidak ada akal dan hati.

Dunia buta dan pekak kepada tragedy kemanusiaan yang menimpa Rohingya.

Krisis tersebut membuktikan kegagalan pengawasan tentera di bawah pentadbiran pemenang Anugerah Nobel Keamanan, Aung San Suu Kyi.

Gelaran diterima Suu Kyi menjadi tidak bererti kerana beliau juga pekak dan buta atau sengaja memekakkan telinga kepada rintihan dan raungan Rohingya, serta membutakan mata beliau kepada  kesengsaraan dan penderitaan yang berlaku di sekitarnya.

Operasi ganas yang berlarutan lebih seminggu serta menggunakan helikopter itu merupakan serangan balas selepas sembilan pegawai polis dilaporkan terbunuh dalam serangan terhadap tiga pos sempadan pada 9 Oktober lalu.

Menurut pemerhati, orang awam Rohingya kembali menjadi sasaran keganasan tentera Myanmar yang mempunyai rekod buruk pelanggaran hak asasi manusia.

“Masalahnya, tentera Myanmar mempunyai rekod yang sangat buruk jika berkaitan dengan orang awam. Mereka benar-benar menembak dulu, baru bertanya kemudian,” kata Phil Robertson, timbalan pengarah  HRW bahagian Asia di institusi hak asasi manusia

HRW meminta kerajaan Myanmar untuk menjemput PBB membantu dalam penyelidikan tentang kemusnahan struktur bangunan tersebut.

Dunia tidak boleh buta dan pekak. Tindakan mendesak diperlukan untuk menangani masalah ini.

Ini bukan masalah Rohingya, tetapi masalah manusia dan kemanusiaan. Kecualilah kita memang tidak punya akal dan hati lagi. – Sarawakvoice