KUALA LUMPUR: Pergerakan Puteri UMNO Malaysia (PPUM) menzahirkan kekesalan dengan tindakan tentera Myammar yang menindas dan membunuh eknik Rohingya di Rakhine sejak 9 Oktober lalu.
Ketua Pergerakannya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, lebih dikesali ialah Bangladesh turut bersekongkol dengan Myanmar dengan menutup kesemua pintu sempadan dan akses bantuan kemanusian.
“Penggunaan salah kuasa terhadap etnik Rohingya khususnya kaum wanita dan kanak-kanak sama sekali tidak boleh diterima dengan apa jua alasan sekalipun,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelas penindasan ini, kata beliau, sama sekali telah melanggar hak asasi manusia dan lebih memalukan apabila pemenang Hadiah Nobel Perdamaian, Aung San Suu Kyi mengambil pendekatan berdiam diri.
Pergerakan Puteri UMNO Malaysia menuntut agar badan komuniti antarabangsa,Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Asean, OIC, dan Kesatuan Eropah (EU) segera memberikan tekanan kepada kerajaan Myammar dengan segera menghentikan pembunuhan beramai-ramai etnik Rohingnya di Maungdaw dan kawasan sekitar Rakhine.
Katanya, PBB perlu menghantar pasukan pengaman ke Arakan bagi menghentikan sebarang usaha pembersihan etnik Rohingya.
Selain itu, beliau mendesak agar langkah diambil bagi mengembalikan segala asas kebebasan termasuk kebebasan untuk bergerak, berkahwin, pendidikan, kesihatan dan kehidupan yang aman.
Hadiah Nobel Pendamaian kepada Aung San Suu Kyi perlu ditarik balik kerana langsung tidak memainkan peranan dalam membantu menyelesaikan konflik etnik Rohingya, kata Mas Ermieyati lagi.
Pergerakan itu juga menuntut janji pemerintah Myanmar pada 2015 untuk memberi komitmen memverifikasikan kewarganegaraan etnik Rohingya dan menghulurkan segala bantuan yang diperlukan.
“PPUM percaya etnik Rohingya mempunyai hak dan masa depan serta berhak untuk hidup secara aman sama seperti etnik-etnik yang lain,” ujarnya. – Sarawakvoice