PKR, Amanah, Pas sekadar kuli DAP, peralat orang Melayu, kata pemimpin UMNO

0
4

KUALA LUMPUR: DAP ialah parti rasis yang memperjuangkan kepentingan satu kaum dan  hanya memperalatkan orang Melayu bagi mencapai agenda politik.

Justeru, Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee mengingatkan orang Melayu  supaya tidak mudah terpedaya dengan helah politik DAP yang berselindung di sebalik kebebasan bersuara dan prinsip demokrasi.

“DAP  hanya memperjuangkan kepentingan satu kaum sahaja, oleh sebab itu dalam barisan kepimpinan parti rasis itu tidak ada orang Melayu yang diberikan jawatan penting,” katanya dalam entri terbaharu di umnobahagiancheras.blogspot.my.

Menurut beliau, matlamat utama DAP ialah menjatuhkan UMNO dan langkah pertamanya adalah dengan menghancurkan perpaduan orang Melayu.

Orang Melayu,  kata Syed Ali yang juga Bendahari Barisan Nasional (BN) Negeri Wilayah Persekutuan,  sepatutnya sedar dan bimbang dengan gerakan politik DAP yang tidak menjamin masa depan yang lebih baik kepada mereka.

Justeru  ujar Syed Ali, dengan apa-apa cara sekalipun DAP akan memasang perangkap untuk memperdayakan orang Melayu supaya bersengketa sesama sendiri.

Menjelas lanjut, beliau berkata, orang Melayu sepatutnya berasa malu dengan berketuakan pemimpin DAP sedangkan parti itu sudah diketahui umum bersifat perkauman.

“Dalam pakatan pembangkang juga, DAP bertindak selaku abang besar yang mendominasi pakatan tersebut, PKR, PAN termasuk Pas sekadar menjadi kuli mereka,” tambahnya. – Sarawakvoice