JOHOR BAHRU: Perselisihan faham menjadi punca seorang pemuda berusia 23 tahun ditikam  hingga mati oleh bapanya berusia 54 tahun di rumah mereka di Taman Ehsan Jaya, Desa Cemerlang, Seri Alam, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Jokhiri Abd. Aziz berkata, kejadian berlaku jam 7 malam apabila mangsa dan bapanya bertengkar di ruang tamu rumah yang kemudiannya bertukar kepada pergaduhan.

“Mangsa telah ditikam sebanyak sekali dengan pisau di bahagian dada sebelah kiri manakala bapanya cedera dua tikaman dengan pisau iaitu satu tikaman di bahagian dada kiri dan satu di bahagian perut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

“Mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya selamat dan stabil,”

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk bedah siasat, manakala bapanya stabil,” katanya lagi.

Jokhiri berkata, siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan motif kejadian disebabkan perselisihan faham dalam keluarga khasnya berkaitan kewangan.

Difahamkan   bapa dan mangsa tidak bekerja dan hanya bergantung kepada ibu mangsa yang bekerja sebagai pembantu kantin kilang.

Tiga orang adik mangsa masih bersekolah.

Jokhiri berkata, anggota polis terpaksa mengambil masa sejam untuk memujuk bapa mangsa sebelum menahannya.

“Selepas kejadian, bapa mangsa masih memegang pisau di sisi anaknya yang terbaring kaku,” katanya.

Johari berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. – Sarawakvoice