Monday, November 28, 2022

Ringgit masih diterima di Makkah, Madinah

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH)  hari ini menafikan maklumat yang disebarkan melalui media sosial kononnya mata wang Malaysia tidak diterima oleh pengurup wang di Makkah dan Madinah.

Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Lembaga Tabung Haji dalam satu kenyataan berkata,  pemantauan melalui Pejabat TH di Jeddah mendapati mata wang Malaysia diterima oleh kebanyakan pengurup wang di kedua-dua kota suci tersebut.  

“Sebaran maklumat mengenai penggunaan Kad ATM/debit yang mempunyai fungsi pengeluaran wang antarabangsa, yang tidak diterima juga adalah tidak benar,” kata kenyataan itu lagi.  

Namun, ujarnya, penggunaan kad ATM/debit tersebut perlulah mengikut tatacara yang betul dan perlu diaktifkan fungsi pengeluaran antarabangsanya.

Sehubungan dengan itu, kenyataan itu menambah, para jemaah Malaysia yang ingin ke tanah suci dan berhasrat untuk menggunakan perkhidmatan Kad ATM/debit dinasihatkan  berhubung terus dengan bank-bank berkaitan untuk maklumat penggunaan secara betul kad ATM/debit tersebut di luar negara. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru