KUCHING: “Saya mahu lihat rakyat luar bandar ” tersenyum” dengan harga gas lpg yang murah bagi mengatasi bebanan sara hidup mereka yang biasanya menjadi mangsa pihak yang menjual gas lebih daripada harga yang sepatutnya,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Jemoreng, Datuk Dr Juanda Jaya semalam.

Beliau yang mengambil bahagian dalam perbahasan bagi usul Pengedaran Gas 2016 yang dibentangkan Menteri Kemudahan Awam, Datuk Seri Stephen Rundi Utom semalam berkata, pada masa yang sama,  kerajaan hendaklah memastikan harga gas ini kelak adalah lebih rendah dan murah.

“Kita mahu rakyat berasa selesa dapat menikmati hasil dari bumi sendiri.

“Pengguna di rumah, kilang, kenderaan dan  industri hendaklah mendapat nikmat daripada rang undang-undang ini,” tegasnya.

Menurutnya, rakyat di luar bandar terutama mereka yang jauh dari sumber gas seperti Miri dan Bintulu juga perlu diambil kira untuk mendapat nikmat gas ini.

“Usaha penyambungan paip dan penghantaran gas yang bersepadu hendaklah dilakukan,” katanya yang menyokong penuh usul tersebut.

Juanda berkata, pembentangan ini penting kerana ia juga membuktikan keseriusan kerajaan untuk mengimplementasi isi kandungan Perjanjian Malaysia 1963.

“Ia bukanlah terlalu lambat. Ia manifestasi bahawa Kerajaan Negeri serius untuk menuntut balik hak negeri yang merupakan pemilik asal hasil bumi ini, termasuk minyak dan gas.

“Ia kekal hak negeri dan negeri mempunyai hak penuh untuk membuat keputusan dan mengambil manfaat daripada hasil bumi yang cukup bernilai ini.

Kata Juanda lagi, ia juga adalah jawapan kepada dakwaan pembangkang yang memperlekehkan Kerajaan Negeri dalam soal tuntutan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.

“Inilah bukti bahawa Kerajaan Negeri sentiasa serius dan terus membuktikan dengan tindakan praktikal bahawa isi perjanjian itu mesti dilaksanakan.

“Ini sudah bukan retorik lagi,” tegasnya.

Katanya, Kerajaan Negeri diminta untuk memastikan pemain lokal dilibatkan dalam proses ini selain memastikan ia dilaksanakan melalui mekanisme yang telus, cekap dan berintegriti .

“Hanya dengan semangat ini hasrat murni kerajaan akan terlaksana dan ada makna yang sebenar untuk rakyat,” tegasnya.

Nada yang sama disuarakan oleh Adun Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman turut menyokong kuasa sepenuhnya kepada Kerajaan Negeri tentang perkara-perkata berkaitan ‘gas’.

“Antaranya adalah pendaftaran lesen dan harapan saya, peluang yang lebih luas akan diberikan kepada belia-belia kita untuk turut serta dalam aktiviti perniagaan dalam bidang tersebut,” jelasnya. – Sarawakvoice