Peruntukan Bajet Pusat tidak cukup! – Tok Nan

KUCHING: Setelah lama berdiam diri, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem hari ini bersuara dengan tegas, dan mimik wajah kecewa bahawa peruntukan yang disalurkan untuk projek pembangunan di Sarawak menerusi Bajet Pusat adalah adalah tidak mengcukupi.

“Dengan mengambil keluasan geografi, jurang pembangunan yang besar di antara Sarawak dan Semenanjung Malaysia serta jurang pembangunan yang luas di antara bandar dan
luar bandar, peruntukan pusat untuk negeri ini adalah tidak mencukupi. Tidak cukup!,” tegasnya sebelum mengakhiri ucapan Bajet Negeri di DUN Sarawak pada pagi tadi.

Jelasnya, amat penting untuk Kerajaan Pusat memperuntukkan lebih banyak dana untuk Sarawak bagi membolehkan pelaksaaan lebih banyak projek infrastruktur seperti jalan raya, jambatan, dermaga dan jeti, saliran, prasarana utiliti, kemudahan asas luar bandar, kemudahan pendidikan dan perkhidmatan perubatan.

“Malah peruntukan ini juga diperlukan untuk membantu petani, penternak dan nelayan kami di kawasan luar bandar,” jelasnya.

Adenan berkata, menjadi tanggungjawab Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan kemudahan awam dan infrastruktur agar negeri ini setaraf dengan Semenanjung Malaysia .

“Sarawak tidak boleh ketinggalan. Kami juga mahu Sarawak mempunyai kemudahan yang sama seperti yang dinikmati oleh mereka yang Semenanjung Malaysia,” jelasnya lagi.

Sehubungan itu katanya, Kerajaan Negeri memberi tumpuan dan fokus lebih kepada pembangunan, terutama di kawasan luar bandar di negeri ini.

“Biarpun bakal berhadapan defisit sebanyak RM385 juta, pembangunan negeri ini tidak boleh diabaikan.

“Kerana itu jugalah kita akan terus menggesa Kerajaan Pusat untuk menyediakan lebih peruntukan untuk tujuan pembangunan, agar negeri ini terus makmur dan dapat ‘menjambatani’ jurang pembangunan yang dihadapi kini,” jelasnya. – Sarawakvoice