Saturday, September 24, 2022

Mesti terima Pas sebagai pemimpin jika mahu berkerjasama

Secara Rawak

KUALA LUMPUR:  Pas menggariskan beberapa prinsip asas yang mesti menjadi panduan dalam menjalin kerjasama politik.

Mursyidul Am Pas Hashim Jasin berkata, Islam hendaklah menjadi  keutamaan pemimpin dalam kerjasama politik.

“Tidak boleh sama sekali Islam dipimpin. Sesiapa yang mempunyai kecenderungan untuk bersama-sama dengan Pas, mesti menerima Pas sebagai pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan.

Kedua,  ujarnya, kerjasama mestilah dibuat atas dasar Islam dan dasar lain yang bercanggah dengan Islam tidak boleh diterima dalam kerjasama politik.

“Kita mungkin boleh bertolak ansur untuk menerima “persepakatan” dalam kepentingan bersama yang selari dengan Islam seperti menentang kezaliman, mencegah rasuah dan seumpamanya,” katanya.

“Semua kerjasama yang dirangka mesti membawa keuntungan kepada Islam. Kerjasama yang terang-terangan merugikan Islam, mencabar kemuliaan Islam atau menentang Islam tidak akan wujud sama sekali,” tambahnya.

Menurut Hashim, satu prinsip terpenting dalam tahaluf siasi atau kerjasama politik yang dilaksanakan ialah ia mesti memberikan keuntungan kepada Islam.

“Mustahil kita melakukan sesuatu tahaluf yang tidak menguntungkan, apatah lagi merugikan Islam,” kata Hashim.

Katanya: “Sebagai sebuah gerakan Islam, apabila kita mahu menjadikan tahaluf sebagai satu srategi politik, maka kita mesti memastikan ia berjalan mengikut landasan syariat. Tidak boleh kita berhujah semata-mata atas dasar “diluluskan oleh muktamar.”

Beliau berkata, setiap ahli Pas mesti sedar bahawa tahaluf berdiri  atas beberapa syarat, antaranya membawa maslahat dan tidak mengikat sehingga menjejaskan prinsip; mengakui kepemimpinan Islam dan tidak menjejaskan prinsip perjuangan; tidak berwalak kepada sekutu pakatan dan tidak reda dengan pegangan mereka.

Pas telah bekerjasama dengan Barisan Nasional (BN) (1973-1977), Harakah Keadilan Rakyat (HAK) (1986), Angkatan Perpaduan Ummah (Angkatan) (1988-1996), Barisan Alternatif (BA) (1998-2008), Pakatan Rakyat (PR) (2008-2015), dan kini Gagasan Sejahtera.

Menjelas lanjut, beliau berkata, Pas sentiasa terbuka untuk menerima semua kumpulan Islam supaya bersatu di bawah Gagasan Sejahtera berdasarkan prinsip Islam.

“Pas juga boleh menerima mana-mana kumpulan bukan Islam yang bersedia untuk menerima kepemimpinan Islam, mengakui perjuangan Islam dan sanggup untuk bersama-sama mempertahankan Islam. Tidak ada ruang kerjasama bagi kumpulan yang menentang dan mengkhianati Islam!,” katanya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru