PRU14: Tiada laluan mudah untuk BN raih dua pertiga

KUALA LUMPUR: Pas Kedah bersama rakan-rakan politik tidak akan memberi laluan mudah kepada Barisan Nasional (BN) mempertahankan kerajaan negeri apatah lagi memperoleh majoriti dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, kenyataan Pengerusi Perhubungan Umno, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di konvensyen parti itu, yang mahu meraih majoriti dua pertiga dalam PRU14 ialah kenyataan yang tidak berpijak di bumi nyata.

“Ia dibuat hanya untuk menyuntik semula keyakinan kepada ahli-ahli Umno yang semakin bercelaru ekoran perpecahan besar yang melanda parti itu sehingga tertubuhnya parti Bersatu,” katanya.

Menurut Dr Ahmad Fakhruddin, sebagai kerajaan yang mendakwa mereka terbaik, BN sepatutnya mengemukakan cadangan bagaimana kaedah menjimat perbelanjaan di samping mengurang kebergantungan kepada kerajaan pusat menerusi hutang.

“Selain itu hendaklah berfikir bagaimana menambah rizab kerajaan bukan dengan mengurangkan milikan negeri,” katanya dalam satu kenyataan.

“Semoga impian rakyat Kedah untuk melihat berlaku perubahan besar dalam kepimpinan kerajaan negeri akan dapat direalisasikan pada PRU14 nanti,” katanya. – Sarawakvoice