Saturday, December 3, 2022

Majlis Islam Sarawak gerak strategi baharu dakwah pastikan saudara kita tidak terpinggir – Misnu

Secara Rawak

TEBEDU: Majlis Islam Sarawak sedang memperkenalkan kaedah baharu dalam berdakwah dan mendekati masyarakat saudara kita yang terdapat di kawasan luar bandar dan pedalaman negeri ini.

Presidennya, Datu Misnu Taha berkata, usaha ini termasuklah melantik ‘dai’ dalam kalangan komuniti setempat atau dari perkampungan saudara baharu tersebut, yang dilatih dan dibekalkan dengan pelbagai ilmu yang sepatutnya ada pada seorang dai.

“Kita sentiasa peka kepada masalah yang berlaku di luar bandar dan pedalaman. Kerana itu kita memperkenalkan kaedah ini, yang dipercayai lebih berkesan, dalam membimbing komuniti tersebut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penangguhan Program Bakti Pribumi Bank Simpanan Nasional (BSN) di Kampung Darul Falah, Temong dekat sini pagi tadi.

Program dua hari itu merupakan aktiviti turun padang BSN bagi membantu golongan asnaf dan mengadakan gotong-royong di kampung tersebut.

Mereka turut memberi sumbangan kepada 31 keluarga asnaf selain menyumbang sebanyak RM3,000 untuk aktiviti masjid.

Bagi Misnu, program seperti ini penting dalam mendekati masyarakat saudara kita, kerana menerusinya golongan ini dapat berkongsi maklumat dan keperluan mereka.

“Saya amat menghargai program-program seperti ini.

“Biarpun saudara-saudara kita ini jauh di pedalaman, namun mereka tidak akan dilupakan.

“Kita dalam agensi-agensi agama seperti Majlis Islam Sarawak dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, serta pelbagai agensi lain akan sentiasa berusaha mendekati mereka dalam apa cara pun.

“Antaranya termasuklah menganjurkan program seperti ini, dan menyambut Aidilfitri bersama,” tegasnya lagi.

Misnu yang juga Timbalan Yang di-Pertua Harakah Islamiah (Hikmah) memberi jaminan bahawa masyarakat saudara kita di negeri ini tidak akan dipinggirkan.

Malah beliau juga berharap, masyarakat ini tidak berasa tersisih dalam kalangan ahli keluarga mereka sendiri.

“Memeluk Islam bukan bermakna tuan-tuan masuk Melayu. Tuan-tuan tetap berbangsa Bidayuh. Cuma agama yang berbeza.

“Justeru itu, raikanlah persaudaraan yang wujud. Sambutlah Gawai bersama-sama dan hadirilah kenduri kendara, serta pelbagai upacara masyarakat Bidayuh yang boleh dihadiri.

“Tuan-puan sendiri tahu batasannya dan saya percaya, ahli keluarga kita yang dalam agama asal juga memahami situasi ini,” katanya.

Jelasnya, inilah keistimewaan masyarakat Sarawak kerana meski berbeza agama, masih dapat hidup bersama-sama dengan harmoni dan saling menghormati dalam kehidupan seharian, apatah lagi sesama keluarga.

Sementara itu Ketua Kaum Kampung Darul Falah, Zulfikar Ali berkata, masyarakat Islam di perkampungan saudara kita itu begitu gembira dengan keprihatinan pihak berkuasa agama terhadap nasib mereka.

“Kesemua 38 keluarga dan 178 penduduk yang dijaga saya, baik di Kampung Darul Falah atau Darul Huda, sentiasa mendapat perhatian, biarpun kami jauh di sempadan Tebedu.

“Sebanyak empat kali sebulan, dai telah merangka program taklim dan mengaji untuk kami, manakala pada hujung minggu, diselitkan dengan aktiviti memasak,” jelasnya.

Kampung saudara baharu dalam kalangan masyarakat Bidayuh di kawasan Tebedu ini telah menjalani proses pengislaman sejak tahun 1980. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru