Bina lebih banyak rumah berkualiti dan mampu milik di Sarawak

Ketika Sesi Town Hall  Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg bersama belia pada Sabtu lepas, satu daripada soalan yang dikemukakan oleh seorang belia dari Kuching ialah masalah sukarnya mendapatkan dan membeli rumah mampu beli. Katanya, kebanyakan rumah yang ada di pasaran begitu mahal harganya, dan ia di luar kemampuan para belia.

Sedangkan, rumah merupakan satu daripada keperluan asas yang penting. Rumah bukan sahaja sebagai pelindung daripada hujan dan panas, tetapi sebagai bukti kejayaan dan harga diri seseorang.

Justeru, pengumuman  Abang Johari semalam bahawa pihak kerajaan akan membina lebih banyak rumah mampu milik dengan turut membuka peluang kepada penyertaan pemaju swasta boleh dianggap sebagai langkah wajar.

Namun, katanya, mereka perlu menepati standard yang ditetapkan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dalam rumah yang dibina dengan beberapa kriteria.

Pertama,  rumah itu mesti mampu dimiliki oleh golongan sasaran berpendapatan rendah dan sederhana.

Kedua, rumah berkenaan mestilah sama sebagaimana diperuntukkan PR1MA dan ketiga, kualiti alam sekitar mesti turut dipertingkatkan.

Abang Johari, yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi, berkata tidak berniat untuk untuk mendiskriminasikan pemaju swasta.

“Perlu ada keseimbangan. Kami mahu pemaju swasta melibatkan diri dalam merangsang ekonomi tetapi kerajaan juga mempunyai peranan dalam menyediakan rumah mampu milik yang mencukupi kepada rakyat,” katanya.

Abang Johari berkata kerajaan negeri membenarkan PR1MA membina 17,660 unit rumah, sebahagian besarnya di kawasan bandar seperti di Sibu, Miri dan Bintulu.

Bagi mengurangkan peningkatan kos tanah yang mempengaruhi harga rumah kerajaan akan menggunakan tanah negeri dan mewujudkan satu bank tanah.

Sesungguhnya, harga rumah sekarang begitu tinggi. Pada awal 80-an, harga rumah teres dua tingkat adalah sekitar RM50,000, namun kini harganya sudah mencecah RM400,000, malah ada yang mencecah RM750,000 bergantung kepada lokasi, reka bentuk dan kualiti pembinaan.

Pada ketika itu, harga sebuah rumah berkembar dua tingkat adalah RM80,000 hingga RM100,000, tetapi kini, ia sudah mencecah di luar imaginasi pembeli, iaitu sekitar RM600,000 hingga RM1.5 juta — sekali lagi bergantung kepada lokasi, reka bentuk dan kualiti.

Masalah kekurangan rumah dan rumah mampu milik perlu ditangani dengan segera oleh kerajaan. Banyak masalah akan timbul jika generasi muda dan generasi masa depan tidak mempunyai rumah.

Dalam pada itu, kerajaan mesti memastikan bahawa rumah yang dibina menepati piawaian. Yang tidak kurang pentingnya aspek kualiti dan reka bentuk yang menarik perlu juga diambil kira. Malangnya, masih banyak pemaju perumahan di Sarawak tidak mempedulikan aspek ini.  

Terus terang, terdapat kawasan perumahan di negeri ini yang tidak terurus dan tidak teratur seolah-olah kita tidak pernah mahu belajar daripada cara pemaju di luar negara membina rumah.

Kualiti parit, jalan raya dan kemudahan lain di kawasan perumahan perlu juga diberikan perhatian berat, bukannya asal ada atau cincai.

Reka bentuk rumah dan kualiti rumah masih berada pada takah dekad 80-an, sedangkan kita sepatutnya sudah mencapai tahap kualiti dan reka bentuk yang setaraf dengan dunia maju, atau sekurang-kurang seperti rumah di kawasan tertentu di Semenanjung.

Maksudnya, kepuasan pembeli perlu juga diberi keutamaan, dan pemaju tidak harus hanya mementingkan sebanyak mana keuntungan yang dapat dikaut. – Sarawakvoice