Thursday, December 8, 2022

Sarawak wajibkan kemudahan lif untuk semua bangunan empat tingkat, dan akan dibekalkan paip gas – Abang Johari

Secara Rawak

KUCHING: Sarawak akan menjadi negeri pertama di Malaysia yang mewajibkan kemudahan lif di semua bangunan kediaman setinggi empat tingkat, baik yang dibina oleh kerajaan mahupun swasta.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan itu dibuat untuk membolehkan penghuni rumah-rumah apartmen yang terlibat berasa selesa dan tidak lagi terpaksa menaiki tangga yang tinggi.

“Ini jelas menyusahkan apabila mereka terpaksa mengangkat bebanan yang berat seperti gas lpg dan sebagainya, dari tingkat bawah ke tingkat empat.

“Keadaan menjadi lebih sukar, jika ia melibatkan golongan warga emas,” katanya ketika merasmikan Pejabat Operasi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) di Metrocity Matang sebentar tadi.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi berkata, PR1MA@Matang yang menyediakan 912 unit kediaman akan menjadi kediaman awam empat tingkat pertama yang dilengkapi kemudahan itu di negeri ini.

“Malah ia juga dilengkapi dengan sistem kamera litar tertutup, dan kini kita sedang cadangkan saluran paip gas lpg, tanpa perlu menggunakan tong gas,” katanya lagi.

Usaha ini katanya, bertujuan untuk memberi kemudahan kepada rakyat di negeri ini.

Abang Johari berkata, apabila kaedah ini berjaya dilaksanakan oleh PR1MA@Matang, ia juga harus diikuti oleh semua pihak, baik yang dikendalikan oleh kerajaan mahupun oleh pihak swasta.

“Kita mengambil serius perkara ini kerana kita mahu rakyat berasa selesa, kerana mereka membeli rumah sekali seumur hidup,” tegasnya. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru