Penerbangan dua hala MAS Kuching-Pulau Pinang setiap Selasa, Khamis, Jumaat, Sabtu

0
3

KUCHING: Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) memulakan operasi penerbangan dua hala Kuching-Pulau Pinang, Pulau Pinang-Kuching pada Jumaat.

Penerbangan dua hala Kuching, Pulau Pinang ini berlangsung empat kali seminggu iaitu dijadualkan pada Selasa, Khamis, Jumaat dan Sabtu.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Datu Ik Pahon Joyik menyifatkan penerbangan terus ini memberi manfaat kepada pemain industri kerana ia membuka peluang luas dunia perniagaan antara kedua-dua negeri, selain membantu mengembangkan industri pelancongan di Sarawak.

Ik Pahon pada sidang media selepas menerima 61 penumpang Pulau Pinang-Kuching pada Jumaat.

“Oleh itu, bagi pihak menteri (Datuk Amar Abang Johari Tun Openg) dan kerajaan, kami mengucapkan terima kasih kepada MAS dan pemain industri yang lain atas usaha mereka meletakkan Sarawak sebagai destinasi pelancongan,” kata Ik Pahon.

Penerbangan MH2724 yang tiba 2.10 petang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) disambut dengan persembahan kebudayaan semasa ketibaan sulungnya dari Pulau Pinang, hub kedua tersibuk di Semenanjung selepas Kuala Lumpur.

Acara sambutan yang sama turut berlangsung di Lapangan Terbang Kota Kinabalu bagi perkhidmatan penerbangan terus Pulau Pinang-Kota Kinabalu yang julung kali bermula pada Jumaat.

Selain Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang merupakan hab utama, Ik Pahon berharap MAS sedia menghubungkan penerbangan bandar lain di Sarawak dengan bandar utama di Semenanjung Malaysia seperti Johor Baharu.

Sementara itu, menurut Pengurus Jualan Wilayah Bahagian Perdagangan Malaysia Airlines Berhad (MAB), Nicholas Kong, pihaknya menerima permintaan penerbangan sehingga 80 peratus terutama pada musim perayaan dan cuti sekolah.

Yakin penerbangan ini membantu merancakkan industri pelancongan domestik Malaysia, Nicholas berkata pihaknya mempertimbang untuk mewujudkan penerbangan ke destinasi lain di Sarawak.

Sebagai permulaan, MAS menggunakan pesawat B737-800 untuk kedua-dua operasi Pulau Pinang-Kuching dan laluan Pulau Pinang-Kota Kinabalu. – Sarawakvoice